IMPIAN menggenggam pingat di Sukan Olimpik yang tidak kesampaian membuatkan bekas pemain badminton beregu wanita kebangsaan, Lee Meng Yean mahu anak didiknya berjaya di masa hadapan.
Menerusi akademi sendiri, Future Champs Badminton Academy, Meng Yean kini giat melatih kira-kira 300 bakat muda di peringkat akar umbi.

Lee Meng Yean menerangkan kaedah latihan kepa pelajar.
Olympian Tokyo 2020 itu yang pernah bergandingan bersama Chow Mei Kuan berkata, penubuhan akademi berkenaan menjadi platform penting untuk melahirkan pemain berkualiti sejak usia muda menerusi sistem latihan rasmi bertaraf kebangsaan yang lebih tersusun.
“Fokus kami bermula dari peringkat akar umbi, khususnya kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun bagi membina asas yang kukuh sebelum mereka disalurkan ke peringkat lebih tinggi seperti negeri atau Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Lee Meng Yean (kanan) bersama rakan kongsinya, Zhang Hong Yu (kiri) menjadi tonggak Future Champs Badminton Academy, berkerjasama dengan makmal fisiologi M-Lab yang dimiliki Ooi Yu Hang (tengah).
“Bagi kelompok umur 12 hingga 15 tahun pula, mereka akan melalui latihan lanjutan supaya lebih bersedia dan berpeluang menembusi skuad kebangsaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Meng Yean menjelaskan antara kekuatan Future Champ Badminton Academy adalah pendekatan latihan profesional yang dikendalikannya bersama rakan kongsi, Zhang Hong Yu selain menjalin kerjasama dengan kerjasama makmal fisiologi, M-Lab yang dikendalikan bekas fisioterapi BAM, Ooi Yu Hang yang berperanan menyediakan kemudahan lengkap termasuk bilik fisioterapi dan gimnasium, setanding standard latihan di BAM.
“Kami adalah salah satu panel KLBA (Persatuan Badminton Kuala Lumpur). Langkah kedua, kami berkolaborasi dengan makmal fisiologi bernama M-Lab.
“Pengasasnya pernah membantu pasukan kebangsaan dan Datuk Lee Chong Wei dulu,” kata Meng Yean, ditemui di cawangan Akademinya di Kepong.
Penubuhan akademinya bukan bertujuan keuntungan semata-mata apabila hanya mengenakan yuran minima RM160 sebulan untuk empat sesi latihan.

Antara aktiviti kendalian pakar fisiologi, Ooi Yu Hang.
“Matlamat saya jelas, mahu lahirkan ‘next’ Lee Zii Jia, Pearly-Thinaah atau Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Kalau ada ibu bapa yang susah, kita bantu. Asalkan anak itu ada kesungguhan untuk berlatih,” ujarnya lagi.
Walaupun baru beroperasi sejak Disember lalu, akademi itu sudah menunjukkan perkembangan positif apabila empat pemainnya berjaya dipilih mewakili negeri di bawah Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA).
Ketika ini, akademi berkenaan memiliki hampir 300 pelajar termasuk program di sekolah sekitar Kepong dan Sungai Long, selain merancang membuka cawangan baharu di Kajang dalam masa terdekat.