Kapten skuad kebangsaan, Dion Cools menegaskan bahawa Harimau Malaya sudah bersedia sepenuhnya untuk ‘melanggar’ Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam esok.

Tonggak pertahanan berusia 29 tahun itu menjelaskan segala persiapan di bawah kendalian ketua jurulatih, Peter Cklamovski berjalan dengan lancar termasuk dalam merencana taktikal untuk berdepan skuad Golden Star Warriors.

Katanya, motivasi semua pemain berada pada tahap terbaik dan dia sendiri akan berusaha mencurahkan segala keringat serta pengalaman terutama selepas beraksi dalam liga terbaik di Jepun bersama kelab Cerezo Osaka.

“Seperti yang dikatakan jurulatih, kami mempunyai seminggu penuh untuk bersiap sedia bagi perlawanan penting ini. Kami sentiasa sedar bahawa perlawanan menentang Vietnam adalah sukar.

“Jadi pemain sebenarnya sangat bermotivasi. Pasukan berlatih dengan baik dan kami sedia untuk memberikan persembahan terbaik pada perlawanan kali ini.

“Sudah tentu, saya sentiasa cuba memberikan 100 peratus untuk Malaysia dan secara peribadi, segalanya berjalan dengan baik di Jepun. Jadi saya harap saya dapat membawa prestasi semasa dan pengalaman itu ke sini untuk membantu pasukan mencapai keputusan yang baik.

“Seperti perlawanan lain, kami menghormati pasukan lawan dan sudah menganalisis mereka dengan baik. Kami tahu apa yang perlu dilakukan dan kami tahu mereka mempunyai pemain yang berkualiti,” katanya.

Aksi berdepan Vietnam menjadi perlawanan pelengkap jadual selepas Harimau Malaya sudah tersingkir daripada perebutan tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 susulan hukuman yang dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

AFC sebelum ini mengisytiharkan Malaysia kalah dengan jaringan 3-0 bagi dua aksi kelayakan berdepan Vietnam dan Nepal rentetan daripada isu pemalsuan dokumen tujuh pemain.

Meskipun menjadi aksi pelengkap jadual, namun pertembungan dengan Vietnam kali ini tetap penting buat Harimau Malaya bagi mendapatkan mata untuk ranking dunia selain mengembalikan maruah bola sepak negara.

 

 

SUMBER: BERITA HARIAN/ FAM