KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata acara terjun berupaya menghadiahkan pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 berdasarkan pencapaian diraih penerjun negara di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary baru-baru ini.

Ia susulan kejayaan gandingan negara Datuk Pandelela Rinong Pamg-Nur Dhabitah Sabri mengatasi pencabar dari negara Komanwel di Budapest.

“Kita doakan Pandelela dan Nur Dhabitah akan mampu mengulangi prestasi cemerlang mereka di kejohanan dunia. Saya secara peribadi sangat harapkan kilauan emas daripada mereka,” jelasnya kepada media pada Khamis.

Beliau bagaimanapun enggan meletakkan tekanan terhadap kedua-dua penerjun itu sebaliknya hanya mahu mereka menikmati terjunan di Birmingham.

“Saya mahu mereka macam masa mula-mula mereka menceburkan diri dalam sukan ini, bukan bermakna kita tak mahu mereka ambil serius tapi kita tak mahu menekan mereka,” katanya.

Sementara itu, pembantu jurulatih kebangsaan Datuk Leong Mun Yee  mengakui pingat emas bukan sesuatu yang mustahil untuk diraih.

Tambah Mun Yee, ketiadaan Nur Dhabitah pada sesi latihan hari ini disebabkan penerjun berusia 22 tahun itu tidak berada pada tahap kesihatan yang baik.

Skuad terjun kebangsaan ke Birmingham terdiri daripada 12 penerjun yang merupakan kumpulan atlet sama menggalas cabaran negara di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei lepas.

Sebagai rekod, skuad terjun membawa pulang satu emas menerusi pasangan Pandelela-Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita dan dua gangsa diraih gandingan Mun Yee-Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama dan 3m papan anjal seirama.