LEE Zii Jia meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, selepas mara ke suku akhir.

Pada aksi pusingan kedua, bekas juara Asia dan Seluruh England itu mengenepikan cabaran rakan senegara, Soong Joo Ven menerusi keputusan straight set 21-18, 21-14 dalam tempoh 41 minit.

Kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu menjadi kejohanan penting buat Zii Jia, sebagai persiapan terakhir menghadapi Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 Julai depan.

Ketiadaan ramai pemain bertaraf bintang membuka peluang buat Lee Zii Jia memburu kejuaraan kedua tahun ini.

Zii Jia berpeluang merangkul gelaran keduanya musim ini pada Terbuka Australia, memandangkan ramai pemain ternama termasuk jaguh pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen memilih untuk tidak turut serta.

Pada suku akhir esok, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu akan membuat perhitungan dengan pemain Jepun, Kenta Nishimoto yang pernah ditewaskannya sebanyak dua kali musim ini.

Mengiringi Zii Jia ke suku akhir adalah beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran) dan Aaron Tai-Kang Khai Xing (beregu lelaki).