PEMAIN badminton negara, Lee Zii Jia menafikan dakwaan dia ‘merampas’ jurulatih pasukan kebangsaan Hong Kong, Wong Tat Meng secara tidak profesional.
Tegas pemain professional itu, dia dan pasukannya Team LZJ mengikut saluran yang sah bagi mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Ipoh, Perak berusia 56 tahun itu.
“Saya tidak fikir ini (pelantikan Tat Meng) satu isu. Kami melakukannya secara profesional dan mengikut undang-undang.
“Apabila Eric Ten Hag meninggalkan Ajax untuk ke Manchester United, adakah pemain dan pengurusan (Ajax) membuat bising (meluahkan rasa tak puas hati)… tidak ada.
“Jadi lebih baik pandang ke depan dan cuba bersikap positif. Marilah kita bantu satu sama lain untuk mengejar impian Olimpik,” katanya di Axiata Arena.
Selasa lalu, Team LZJ secara rasmi mengumumkan pelantikan Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan dalam usaha pemain nombor 10 dunia itu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Namun, timbul perkhabaran kurang enak didengar apabila pemain perseorangan lelaki Hong Kong, Angus Ng Ka Long meluahkan rasa kecewa susulan pelantikan Tat Meng itu.
Bagi Ka Long, situasi itu janggal memandangkan dia dan rakan-rakan sepasukannya mempunyai tempoh terhad untuk membuat persediaan ke Sukan Asia 2022 Hangzhou, China, September depan.
Mengulas mengenai pemilihan Tat Meng sebagai jurulatihnya, Zii Jia berkata, pengalaman luas antara faktor penting selain: “Akhirnya saya sudah ada jurulatih yang berasal dari Malaysia… sudah tentu ramai yang gembira. Dia (Tat Meng) seorang jurulatih yang cukup berpengalaman.
“Dia juga memiliki rekod yang baik sebelum ini dan membimbing beberapa pemain terbaik dunia seperti (perseorangan wanita Korea Selatan) An Se-young.
“Jadi saya harap dia akan membawa saya pada satu tahap yang lebih tinggi.”
Pemain itu memberitahu, dia berharap menerima sentuhan kejurulatihan Tat Meng secepat mungkin.
“Kita ada satu bulan tempoh berehat selepas Terbuka Indonesia (dari 13 hingga 18 Jun) dan dia juga ada perkara yang perlu diselesaikan lagi,” jelas Zii Jia.
Ketika ditanya adakah kontrak Tat Meng sehingga Sukan Olimpik Paris 2024, Zii Jia berkata: “Itu tak pasti, kena tanya kakak saya (Lee Zii Yi selaku pengurus Team LZJ).”
Zii Jia bergerak solo tanpa khidmat jurulatih selepas berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.