PERSEDIAAN rapi serta strategi baharu yang dirancang membolehkan Pearly Tan-M Thinaah menundukkan pasangan Jepun sekali gus melangkah bergaya ke pusingan kedua Seluruh England di Birmingham.
Beregu wanita utama negara itu menewaskan Arisa Igarashi-Chiharu Shida 21-19, 21-13 dalam pertarungan 46 minit yang menyaksikan mereka mengawal tempo permainan sejak set pertama.
Pearly berkata mereka sudah melakukan persiapan terperinci sebaik sahaja undian kejohanan diumumkan dan strategi yang dirangka akhirnya menjadi di gelanggang.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini kerana kami sudah bersedia sejak melihat undian lagi dan strategi yang kami rancang benar-benar menjadi, dan berjaya membalas kekalajan di Terbuka Denmark rahun lalu” kata Pearly kepada Persekutuan Badminron Dunia (BWF).
Thinaah pula menjelaskan sesi latihan pqnjang sebelum kejohanan banyak membantu mereka menyelesaikan salah faham serta turun naik prestasi yang pernah berlaku sebelum ini.
“Saya rasa semasa latihan ada banyak ups and downs tetapi kami cuba selesaikan masalah itu supaya perkara sama tidak berlaku ketika perlawanan,” katanya.
Menurut Pearly, keakraban mereka sebagai rakan baik di dalam dan luar gelanggang turut menjadi kekuatan penting ketika menghadapi tekanan perlawanan.
Pilihan kedua kejohanan itu akan berdepan wakil Korea, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo yang dijangka berlangsung jam 11.50 malam ini.
Dalam satu lagi aksi pusingan pertama, pasangan negara Ong Xin Yee-Carmen Ting terpaksa akur apabila tewas kepada pilihan kelima dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 17-21, 8-21 dalam masa 38 minit.