PROSES penilaian lesen kelab Liga Super Malaysia kini memasuki fasa kritikal apabila semua pasukan – termasuk dua dari Liga A-1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC telah menghantar dokumen lengkap permohonan Lesen Kebangsaan 2025-2026 tepat pada tarikh tutup, 10 Mei lalu.

Menurut badan bebas First Instance Body (FIB), sebanyak 387 dokumen dan entri berkaitan pelesenan Liga Super telah dimuat naik ke dalam sistem AFC CLAS oleh kelab terlibat, merangkumi aspek kewangan, pengurusan, perundangan, sukan dan infrastruktur.

Untuk dua kelab semi-pro pula, 98 dokumen dan entri telah diterima untuk semakan.

Ketika ini, Unit Kelab Pelesenan MFL sedang menjalankan semakan rapi terhadap semua dokumen sebelum laporan lengkap diserahkan kepada FIB yang bakal bermesyuarat dalam masa terdekat.

Mesyuarat ini penting kerana akan menentukan sama ada kelab-kelab berkenaan layak atau tidak menerima Lesen Kebangsaan yang menjadi syarat wajib untuk beraksi dalam saingan domestik dan pentas Asia.

Apa yang lebih tegas, FIB menegaskan bahawa tiada lagi kompromi masa akan diberikan. Siapa yang gagal, bakal terlepas peluang bersaing musim depan – satu isyarat jelas bahawa tahap profesionalisme dalam bola sepak Malaysia tidak lagi boleh dipandang ringan.

Keputusan rasmi akan diumumkan selepas semua proses selesai. Buat penyokong dan pengurusan pasukan, debaran sebenar baru sahaja bermula.