PENGURUS Besar KL Rovers, Fadzlie Ahmad mengesahkan bahawa pasukannya tidak akan menggunakan khidmat awang import walaupun pihak Liga Bola Sepak Amatur (AFL) memberi dua kuota import kepada 16 skuad yang menyertai Liga A1 Semi Pro musim ini.
Namun begitu, Fadzlie berkongsi kepada FLASH SUKAN bahawa dia tetap akan melihat dan menilai dahulu prestasi pasukan untuk perlawanan pusingan (minggu) pertama, apabila menggunakan 100 peratus khidmat pemain tempatan.
Tambah beliau, beberapa bekas pemain Liga Super juga sudah berjaya direkrut iaitu Faiz Mazlan dari Penang FC dan Zahril Azri dari Selangor FC, demi memperkuatkan lagi jentera pasukan KL Rovers musim 2024-2025 ini.

Fadzlie Ahmad, Pengurus Besar KL Rovers.
“Kita sudah membuat persediaan yang terbaik menjelang Liga A1 Semi Pro, dimana kita sudah mengambil beberapa pemain berpengalaman dari Liga Super. Jadi kita akan lihat prestasi skuad untuk musim ini.
“Dengan keputusan untuk mengekalkan majoriti pemain, lebih kurang 50 peratus daripada musim lepas, kita yakin dapat mengekalkan kedudukan di ‘Top 2’ Liga A1, dan seterusnya dapat layak ke Liga Super secara automatik.
“Jadi, buat masa ini setelah kita berbincang dengan jurulatih, kita tidak perlukan pemain import tetapi ini tidak bermakna kita tidak mengharapkan import. Kita tengok pusingan kedua nanti dahulu, tetapi buat masa ini kita tak pakai import. KL Rovers percaya pada bakat-bakat tempatan sedia ada,” ujar Fadzlie ketika ditemui FLASH SUKAN.
Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya sudah ‘move on’ dan redha kerana tidak dapat bermain di Liga Super musim ini, sekali gus akan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap Liga A1 ini.
“Seperti yang sedia maklum, kita nak main Liga Super sebelum ini, tetapi kita dah lupakan perkara itu dan kita fokus ke Liga A1. Jadi, kita juga sudah buat persediaan terbaik untuk memulakan kempen Liga A1 musim 2024 ini,” tambahnya.
Terdahulu, Pengerusi AFL Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengumumkan menerusi kenyataan di AFL bahawa pasukan-pasukan di bawah Liga A1 diberi peluang untuk merekrut pemain import bagi mempersiapkan pasukan pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan musim ini.
Namun, KL Rovers merupakan salah satu pasukan yang bakal beraksi di pembukaan Liga A1 Semi Pro tanpa kelibat awang import, kerana menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya dalam pasukan.