JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sudah bersedia dan meletakkan fokus kepada potensi diri sendiri untuk berhadapan Shanghai Port dalam aksi pertama peringkat liga zon timur Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite 2024-25 pada Rabu.

Pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio gembira dengan keadaan skuad yang dianggap terbaik ketika ini dan berharap JDT dapat membawa momentum yang baik dalam liga domestik ke kejohanan kelab terbaik Asia itu.

Bidoglio yang ditemui ketika sidang media pra perlawanan sedar cabaran yang akan dibawa oleh Shanghai Port tetapi dia yakin jika JDT fokus kepada perkara yang mampu dikawal, mereka mampu melakar kejutan dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium SAIC Pudong, Shanghai itu.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio mahu pemainnya fokus kepada potensi pasukan (kredit foto: JST)

“Ianya perlawanan yang penting buat kami kerana dalam pertandingan ini JDT adalah sebuah kelab yang bertambah baik dari hari ke hari dan musim ke musim dan kami berharap dapat mengekalkan perkara ini.

“Ini kerana kali ini kami mempunyai skuad yang lebih mantap dengan pemain yang baik dan saya percaya dengan semua pemain kerana mereka sudah bekerja keras untuk menghadapi kejohanan yang penting ini.

“Kami sudah melakukan analisa terhadap pasukan lawan dan mereka bermain dengan mengawal bola serta mempunyai pemain yang baik tetapi kami hanya perlu fokus kepada diri kami kerana ketika ini mereka adalah pasukan terbaik di Liga China dan kami juga pasukan terbaik di Liga Malaysia jadi kami perlu tunjukkan potensi kami,” katanya.

Jordi Amat mahu dia dan rakan-rakan sepasukan tampil dengan aksi membanggakan (kredit foto: JST)

Dalam sidang media yang sama, kapten JDT, Jordi Amat turut menjangkakan satu aksi yang sukar dan mereka perlu memberikan persembahan terbaik untuk meraih tiga mata pertama.

“Esok adalah perlawanan yang sukar kerana kami akan berhadapan pasukan terbaik dari China ketika ini dan kami perlu tampilkan aksi terbaik untuk menang dan kami tidak sabar untuk memulakan kejohanan ini,” jelasnya.

JDT bakal membawa cabaran Malaysia di Liga Juara-Juara AFC Elite dan akan berhadapan Shanghai Port, Shanghai Shenhua, Gwangju FC, Ulsan HD, Shandong Taishan, Central Coast Mariners dan Buriram United dalam format baharu pertandingan kelab Asin dengan lapan kelab terbaik dari 12 pasukan akan layak ke pusingan 16.