KETUA pasukan BG Pathum United, Sarach Yooyen menyeru para penyokong untuk hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada The Rabbits apabila turun berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC pada Selasa.

Selepas tewas pada perlawanan pembukaan 1-3 menentang Ulsan Hyundai, BG Pathum tidak mempunyai pilihan iaitu terpaksa mengutip tiga mata keatas juara Liga Super Malaysia itu dan Yooyen mahukan pasukannya menggunakan kelebihan di tempat sendiri di hadapan penyokong yang setia.

“Matlamat kami adalah untuk mengutip tiga mata. Saya menyeru agar penyokong dapat penuhkan stadium kerana ianya adalah kelebihan buat kami apabila beraksi di laman sendiri dan kami janjikan aksi yang terbaik dalam perlawanan esok,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Pathum Thani.

Dalam sidang media yang sama, pengendali BG Pathum, Surachai Jaturapattarapong pula berhadapan masalah kecederaan dan terpaksa menilai tahap kecergasan pemain menjelang aksi pada Selasa.

“Saya mempunyai banyak pemain yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan terpaksa melakukan penilaian saat akhir terhadap beberapa pemain sebelum perlawanan esok. Kami tidak mempunyai pilihan kecuali menurunkan kesebelasan terbaik untuk mendapatkan tiga mata.

“JDT mempunyai beberapa pemain yang pernah bermain di Thailand sebelum ini tetapi saya tidak lihat ianya akan merubah banyak dalam perlawanan. Banyak pemain dari kedua-dua pasukan pernah bertemu sesama sendiri di peringkat kelab mahupun ketika tugasan negara.

“Saya percaya perlawanan esok akan menjadi satu aksi yang menghiburkan dari kedua-dua pasukan dan kami berazam untuk muncul sebagai pemenang,” kata Surachai.

Aksi BG Pathum dan JDT pastinya menjadi tumpuan penyokong bola sepak tempatan apabila dua kelab Asia Tenggara ini akan membuktikan kejaguhan masing-masing di peringkat terbesar Asia dengan kedua-dua kelab mahu mencari kemenangan pertama mereka di ACL musim ini.