SAINGAN perebutan kejuaraan Liga MBSB Bank Championship 2023 bakal sampai ke kemuncak pada Sabtu dengan tiga pasukan — Kuala Lumpur Rovers, Imigresen FC dan Harini FT berpeluang untuk muncul juara sekaligus mengesahkan tempat ke Liga Super musim hadapan.
Tambah menarik, Kuala Lumpur Rovers bakal bertemu Harini FT di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) jam 4.45 petang dalam aksi yang bakal menentukan hala tuju kejuaraan tiga penjuru ini.
Pendahulu terkini, Kuala Lumpur Rovers melihat prestasi mereka sepanjang kempen liga musim ini sebagai sesuatu yang menakjubkan dan mahu meletakkan peluang muncul juara liga di tangan sendiri tanpa bergantung pada faktor luaran yang lain.
Pengendalinya, Wan Mustafa Wan Ismail berkata aksi bertemu Harini FT pada Sabtu bakal menjadi satu pertemuan penting antara pasukan lawan yang dibarisi ramai pemain bintang berbanding pasukannya yang diwakili pemandu e-hailing dan juga penghantar makanan.
“Sebagai pasukan kerdil dan bukan pilihan, untuk berada di puncak liga sejak dari awal sehingga ke perlawanan terakhir untuk menentukan kejuaraan adalah sesuatu pencapaian yang menakjubkan buat kami.
“Peluang merangkul kejuaraan berada di tangan sendiri tanpa mengharapkan sebarang keputusan lain. Para pemain begitu teruja untuk berada di pentas penentuan ini setelah mencipta sejarah menjadi pasukan semi-professional pertama layak ke pusingan 16 Piala Malaysia selaku pendahulu liga.
“Kebarangkalian untuk menang adalah sama rata. Sekiranya pasukan lawan mempunyai nama-nama bintang, kami mempunyai pemandu-pemandu e-hailing dan rider penghantar makanan yang akan bermain mati-matian untuk mencapai kejuaraan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
KL Rovers memerlukan tiga mata penuh dalam perlawanan ini untuk memastikan kejuaraan liga menjadi milik mereka dengan Imigresen FC dilihat berpeluang memintas sekiranya menewaskan Melaka FC dalam perlawanan yang berlangsung serentak pada Sabtu.
Mengikut rekod, KL Rovers mendahului liga dengan 53 mata diikuti Imigresen FC, 52 mata manakala Harini FT mengumpul 50 mata dengan hanya kemenangan menjamin kejuaraan buat ketiga-tiga pasukan dalam persaingan paling sengit pernah disaksikan di liga tier ketiga ini.