KETUA jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim, sudah berkira-kira mahu menukar tonggak importnya pada jendela perpindahan kedua Liga Super tidak lama lagi.

Menurut Irfan Bakti, langkah itu perlu diambil jika skuad The Cats berhasrat keluar daripada zon penyingkiran selepas hanya memungut empat mata di tangga ke-12.

Pengendali berpengalaman itu berkata, masih belum terlambat untuk Kuching City bangkit dan membaiki kedudukan dalam musim pertama mereka di Liga Super tahun ini.

“Pihak pengurusan sudah diberitahu, kami tidak boleh bergantung kepada pemain sedia ada sebaliknya kena buat sesuatu jika tidak mahu terus keciciran mata dan ketinggalan jauh.

“Saya optimis pasukan ini boleh bangkit tetapi pembaharuan itu perlu dibuat. Pemain lebih sesuai perlu dicari kerana kualiti pemain tempatan dan import kami tidak setanding kelab lain.

“Berbaki lima perlawanan sebelum tamat pusingan pertama, saya belum panik dan akan beri yang terbaik. Cuma perubahan itu wajar dilakukan untuk kejar pasukan lain di pusingan kedua,” katanya.

Irfan Bakti ditemui FLASH SUKAN selepas aksi bertemu Terengganu FC (TFC) malam tadi yang memihak kepada Sang Penyu dengan kemenangan 2-0 hasil dua jaringan Jordan Mintah.

Mengulas kekalahan itu, Irfan Bakti mengakui ianya berpunca daripada kesilapan pemainnya yang gagal mengawal rapi pergerakan Mintah dalam setiap babak.

“Pemain saya juga lambat membantu bahagian depan melancarkan serangan serta hanya terkaku ketika bertahan. Itu tidak sepatutnya berlaku di peringkat Liga Super,” tambahnya.

Selepas lapan perlawanan, Kuching City kini di tangga ke-12 dengan empat mata dan hanya dua mata mengatasi pasukan tercorot, Kelantan United.