PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi dilihat memilih sikap berteka-teki mengenai persiapan pasukannya untuk menghadapi Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Selasa.
Gergasi Merah kini dalam prestasi terbaik apabila meraih tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga pertandingan berbeza dan berjaya menjaringkan 13 gol dan jurulatih asal Jepun itu mahu pemainnya mengekalkan fokus bagi mengelak dikejutkan lawan.
Namun begitu, Kinoshi kehilangan khidmat Ali Olwan yang disahkan mengalami kecederaan tetapi kehadiran semula tiga pemain kebangsaan dijangka akan memberikan kelebihan buat Selangor untuk mengekalkan kedudukan di tempat kedua liga.
“Kami perlu fokus kepada perlawanan bertemu Perak kerana itu adalah sasaran kami dan perlu melihat kepada keadaan para pemain terlebih dahulu kerana jadual yang padat namun ini peluang buat kami berikan peluang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi.
“Saya tidak boleh dedahkan sebarang strategi untuk perlawanan seterusnya sebaliknya kekal fokus untuk berikan kegembiraan kepada para penyokong yang sentiasa berada di belakang kami.
“Rehat lebih satu hari berbanding Perak tidak boleh dianggap sebagai kelebihan buat kami kerana apa yang penting adalah bagaimana kami menggunakan kelebihan satu hari itu untuk membantu kami mencipta kemenangan,” katanya.
Sementara itu jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah bakal kehilangan dua pemain, Sunday Afolabi dan Arif Ar Rashid dalam pertemuan ini namun dia mahu anak-anak buahnya memberikan saingan buat Selangor di gelanggang sendiri.
“Kita bakal kehilangan dua pemain dan ini sedikit menggangu kerana mereka adalah pemain yang bekerja kuat dalam pasukan dan kita sedar Selangor menjaringkan banyak gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
“Namun saya yakin dengan semua pemain dan mahu mereka mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk memberikan saingan kepada Selangor,” jelasnya.
Selangor kini ditangga kedua Liga Super dengan 32 mata manakala Perak FC ditangga keenam dengan 18 mata selepas 15 perlawanan dengan misi mencari tiga mata menjadi sasaran utama kedua-dua pasukan.