BEKAS penolong ketua jurulatih kebangsaan, Irfan Bakti Abu Salim, yakin bahawa kelab dan pasukan kebangsaan telah mencapai kesepakatan serta memahami keperluan masing-masing dalam menentukan barisan pemain bagi menghadapi cabaran di Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024.

Pandangan ini hadir susulan tindakan Sabah FC memanggil kembali empat pemainnya, iaitu Darren Lok, Dominic Tan, Stuart Wilkin, dan Daniel Ting, untuk beraksi dalam suku akhir pertama Unifi Piala Malaysia menentang Kuching City FC, semalam.

Menurut Irfan, situasi ini tidak sepatutnya dilihat dari sudut negatif semata-mata. Sebaliknya, beliau memahami keperluan kelab untuk mendapatkan skuad terbaik, khususnya dalam menghadapi perlawanan penting seperti Piala Malaysia.

“Bagi saya, tiada masalah jika kelab ingin memanggil pemain mereka kembali kerana mereka mempunyai hak. Saya percaya, sebelum keputusan dibuat, sudah pasti ada perbincangan di antara kelab dan pasukan kebangsaan mengenai pengurusan pemain,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Kehadiran tiga pemain kebangsaan suntik semangat Sabah FC di Piala Malaysia 2024.

Irfan turut menegaskan bahawa kejohanan Piala AMEC, yang berada di luar kalendar Fifa, memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk menyerlah di pentas antarabangsa. Ini juga dapat memperlihatkan bakat pemain yang sebelum ini kurang diberi perhatian.

“Skuad kebangsaan masih mempunyai ramai pemain lain yang boleh diketengahkan. Inilah masanya untuk mereka membuktikan kemampuan. Jika mereka beraksi dengan baik, saya yakin peluang untuk menyertai kejohanan lebih besar seperti Kelayakan Piala Asia pasti terbuka luas,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN : Sabah FC panggil pulang Stuart Wilkin harungi kempen Piala Malaysia?

Beliau juga mengambil contoh liga di Indonesia dan Thailand yang tetap berjalan semasa kejohanan AMEC berlangsung, mengukuhkan lagi keperluan kompromi antara kelab dan skuad kebangsaan.

Sebagai jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan di bawah kendalian Claude Le Roy (1994-1995) dan Wan Jamak Wan Hassan (1996-1997).

Beliau juga pernah melatih beberapa kelab utama dalam Liga Malaysia seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu FC, dan Kuching City FC. Pada tahun 2011, beliau diiktiraf sebagai Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).

Skuad Harimau Malaya kini berada di tangga ketiga peringkat kumpulan AMEC 2024 selepas tiga perlawanan. Jumaat ini, mereka bakal berdepan musuh tradisi, Singapura, dalam usaha merebut slot ke separuh akhir kejohanan.