PENDERITAAN yang membelenggu skuad Melaka United mungkin akan bertambah apabila berhadapan finalis Antara Zon Piala AFC, Kuala Lumpur City FC di Stadium Hang Jebat pada Khamis.

Tanpa kemenangan dalam lima perlawanan terakhir dan menjadi pasukan belasahan di tangan Johor Darul Ta’zim, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman sehingga dibolosi 12 gol bukanlah statistik yang mahu dilihat oleh para penyokong Melaka.

Ditambah pula masalah gaji yang berterusan ianya seakan memberi bayangan awal kepada keputusan perlawanan yang bakal ditempuhi esok meskipun bola belum disepak.

Barisan Asri Ninggal yang kebelakangan ini beraksi tanpa pemain import jelas bergelut hinggakan hanya 1,445 orang penonton sahaja yang hadir ke stadium pada perlawanan lalu.

Sebarang keputusan negatif akan menyaksikan Melaka United semakin hampir dengan pasukan di kelompok bawahan liga dan berkemungkinan terlepas tiket ke Piala Malaysia.

KL City pula sedang berada di kemuncak prestasi dengan enam perlawanan tanpa kalah dengan terbaharu menjadikan Sri Pahang sebagai mangsa meskipun masih dalam keadaan penat selepas pulang dari India.

Anak-anak buah Bojan Hodak juga bebas dari kecederaan dengan Zhafri Yahya dan Declan Lambert yang dipanggil ke skuad kebangsaan pastinya akan menambahkan lagi moral dan semangat pasukan warga kota.

Kemenangan akan menyaksikan KL City bakal bersaing dengan Terengganu FC di tangga keempat liga dengan peluang untuk mengejar Negeri Sembilan di tangga ketiga masih ada untuk merebut tiket ke Asia sekali lagi.

Di atas kertas, KL City dilihat tidak mempunyai masalah untuk mengutip tiga mata penuh namun kelebihan sebagai tuan rumah tetap ada buat Melaka United yang pastinya mahu membuktikan mereka masih mampu bersaing meskipun ditimpa pelbagai masalah.

Adakah Hang Jebat terus berdarah ditusuk Kuala Lumpur City atau The City Boys akan menjadi sejarah baharu buat Melaka United untuk mengutip tiga mata. Menarik untuk kita saksikan.