PASUKAN Kedah Darul Aman FC tidak melatah meskipun bakal memulakan saingan Liga Super musim 2024-25 dengan negatif tiga mata dan mahu segera mendapatkan semula tiga mata itu ketika berdepan PDRM FC pada Sabtu.
Kedah Darul Aman dikenakan pemotongan tiga mata kerana gagal menjelaskan gaji tertunggak musim lalu tetapi ianya tidak lagi menggangu fikiran pemain menjelang aksi pertama musim di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Meskipun hadir dengan reputasi tinggi namun pengendali Kedah, Nafuzi Zain tetap mengganggap aksi pertama menentang The Cops itu sebagai aksi yang sukar dan mahu kesemua pemain memberikan sepenuh tumpuan.

Nafuzi mahu barisan pemain berikan tumpuan pada aksi pembukaan musim (kredit foto: KDA FC)
“Saya mahu setiap pemain membawa fokus terbaik mereka melalui persiapan yang telah kami lakukan untuk aksi pertama kami menentang PDRC pada petang Sabtu yang saya jangka tidak mudah buat kami sepanjang 90 minit permainan.
“Misi kami sudah pasti mahu mendapatkan tiga mata di tempat lawan dan melihat kepada persiapan yang dijalani pasukan selama ini, semuanya berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang telah kami diaturkan.
“Saya yakin pemain telah bersedia sepenuhnya untuk memulakan aksi pertama ini dan saya berpesan kepada semua pemain agar dapat turun dan mempamerkan aksi penuh keyakinan pada aksi sulung pada musim ini,” katanya.

Kedah bersedia berikan cabaran meskipun bermula dengan negatif tiga mata (kredit foto: KDA FC)
Nafuzi juga berkata, dia kini sudah memiliki set kesebelasan utama pasukan yang berada dalam perancangannya selepas menilai tahap pemain melalui siri perlawanan pramusim dan latihan dalaman yang dilalui sebelum ini.
“Dengan kesebelasan utama yang bakal diturunkan nanti, saya berharap pemain dapat memberi aksi yang terbaik seperi dirancang kerana kami tidak boleh kehilangan mata selepas tiga mata kami ditolak berikutan isu tunggakan gaji musim lalu.
“Pemotongan tiga mata itu perkara yang sudah pun berlalu dan tiada apa yang boleh mengubah keadaan. Oleh itu, kami mahu terus kuatkan semangat dan terus pandang ke depan untuk memulakan aksi musim baharu ini melalui tekad dan azam yang baharu.

Para pemain giat menjalani latihan menjelang aksi pertama (kredit foto: KDA FC)
“Cuma saya berharap tahap keyakinan semua pemain akan berada dalam keadaan terbaik bagi memulakan aksi pertama kami ini dengan memberi fokus sepenuhnya untuk membawa pulang tiga mata berharga,” katanya.
Kedah Darul Aman berhadapan kesukaran dari segi kewangan dan penajaan dengan terpaksa menggunakan kit pramusim pada peringkat awal musim ekoran masih belum mendapat penaja utama.