SELANGOR FC mahu menamatkan episod duka yang sedang melanda kelab dengan kembali fokus untuk mendapatkan tiga mata dalam liga apabila menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin.

Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi melalui minggu suram selepas tersingkir dari saingan Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 selain dipintas Sabah di tangga kedua Liga Super.

Kegagalan itu menyaksikan Gergasi Merah kini terpaksa bersaing di MFL Challenge Cup dan Kinoshi melihat tiga mata di Paroi pastinya akan menaikkan kembali semangat dan motivasi pemain untuk kembali memberikan saingan dalam liga.

“Kami beraksi dengan baik menentang Cebu FC, malangnya kami tidak layak ke pusingan 16 ACL2. Namun kami sekarang perlu memberi fokus kepada aksi seterusnya dalam liga dan saingan piala.

“Saya memaklumkan kepada pemain untuk sentiasa mengekalkan motivasi yang tinggi bagi mengharungi perlawanan seterusnya tidak kira apa situasi yang kami hadapi,” katanya.

Kinoshi yang baru mengendalikan Gergasi Merah untuk tiga perlawanan berdepan situasi getir untuk mencari kemenangan pertama dalam liga dalam keadaan dia kehilangan dua pemain utama, Kalamullah Al Hafiz dan Harith Haiqal yang menyertai skuad kebangsaan ke Piala Asean Mitsubishi Electric.

Kinoshi buru kemenangan pertama dalam saingan Liga Super

Selangor kini ditangga ketiga berkongsi 29 mata dengan Sabah yang memiliki kelebihan perbezaan gol namun Negeri Sembilan juga bukanlah lawan yang mudah selepas mereka menempah tempat ke suku akhir Piala Malaysia.

Negeri Sembilan pula sedang memburu kemenangan pertama di laman sendiri dan K.Nanthakumar mengakui dia tidak mahu meletakkan tekanan kepada anak-anak buahnya sebaliknya hanya fokus kepada diri sendiri terutama bahagian serangan.