TIMOR Leste dilaporkan menawarkan tiket percuma kepada penonton untuk perlawanan menentang Thailand dalam perlawanan pertama Piala Asean Mitsubishi Electric 2024.
Timor Leste akan beraksi menentang Thailand di Stadium Hang Day, Vietnam, pada Ahad. Pasukan itu terpaksa menggunakan stadium di Vietnam kerana tidak memiliki stadium yang diluluskan untuk kejohanan rasmi.
Oleh kerana bermain di Vietnam, Timor Leste terpaksa berjauhan daripada penyokong setia mereka. Justeru itu, menurut laporan media Vietnam Soha, Persekutuan Bola Sepak Timor Leste telah memutuskan untuk memberikan tiket percuma kepada penonton yang ingin menyaksikan perlawanan antara Timor Leste dan Thailand.
Soha turut melaporkan bahawa Timor Leste adalah satu-satunya pasukan dalam Piala AMEC 2024 yang menawarkan tiket percuma kepada penonton.
Walaupun berjauhan daripada penyokong setia, jurulatih Timor Leste, Simon Elissetche, berharap pasukannya tetap mendapat sokongan dalam perlawanan penting menentang Thailand.
“VFF (Persekutuan Bola Sepak Vietnam) memberi kami peluang untuk memilih stadium di Vietnam. Sejak kami tiba di sini, semua orang sangat mesra dan menyokong pasukan.
“Kami berharap dapat terus menerima sokongan dalam perlawanan Timor Leste dan merasai suasana bermain seperti di laman sendiri,” kata Elissetche.
Untuk Piala AFF 2024, Timor Leste pada asalnya memilih Stadium Viet Tri sebagai tempat perlawanan mereka. Namun, pasukan kebangsaan Vietnam juga memilih untuk bermarkas di Viet Tri, menyebabkan Timor Leste beralih ke Stadium Hang Day.
FOTO : FFTL