PASUKAN hoki remaja lelaki negara terpaksa akur di tempat keempat selepas tewas tipis 2-1 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Asia Remaja 2024 di Stadium Hoki Oman, Al Amarat, Muscat, malam Rabu.
Biarpun tewas dalam aksi perebutan kedudukan ketiga terbaik, skuad remaja negara secara rasminya layak ke saingan Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di India tahun depan.
Dalam aksi yang penuh dramatik itu menyaksikan Jepun memanfaatkan peluang awal mereka, manakala Malaysia bergelut untuk mencari sentuhan penyudah yang tajam.
Skuad bimbingan Iswaraphatam Vikneswaran memulakan perlawanan dengan jersi biru-merah, tetapi Jepun yang turun serba merah tampil lebih garang pada suku pertama.
Serangan pantas dan agresif mereka membuahkan hasil seawal minit ketujuh menerusi jaringan padang Tanaka Tsubasa. Hanya dua minit berselang, Fujiwara Yuma menambah luka Malaysia dengan pukulan back shot yang cantik, menjadikan kedudukan 2-0 tamat suku pertama.
Memasuki suku kedua, Malaysia mula memperkemaskan permainan dengan susunan serangan yang lebih teratur. Namun, ketumpulan di dalam kawasan D Jepun terus menghantui skuad negara.
Selepas hampir separuh masa bermain, Harris Iskandar akhirnya menceriakan kem Malaysia dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-23.
Gol tersebut memberi nafas baharu kepada pasukan negara, yang tampak lebih dominan sepanjang suku kedua, tetapi Jepun tetap unggul 2-1 hingga tamat separuh masa pertama.
Suku ketiga menyaksikan persaingan lebih seimbang apabila Malaysia menekan Jepun habis-habisan sambil mengawal tempo permainan dengan lebih baik.
Walaupun berjaya menyekat dominasi Jepun, kekurangan ketajaman di hadapan gol terus menjadi penghalang untuk Malaysia menyamakan kedudukan.
Pada suku terakhir, Malaysia mendapat peluang keemasan menerusi pukulan sudut penalti awal permainan, tetapi pertahanan Jepun bermain cemerlang untuk menggagalkan usaha tersebut.
Jepun bertahan bermati-matian hingga wisel penamat, dan keputusan 2-1 kekal memihak kepada pasukan mereka.
Walaupun tewas, perjuangan pasukan remaja negara dalam kejohanan kali ini tetap membanggakan.
Jurulatih Iswaraphatam pastinya akan menilai semula kelemahan skuadnya, terutamanya dalam aspek penyudah sebagai persediaan untuk kejohanan akan datang.