PEMILIK Liverpool, Fenway Sports Group (FSG), dilaporkan tidak mempunyai minat untuk menjual kelab kepada Elon Musk, walaupun ayahnya Errol Musk, baru-baru ini menyatakan bahawa anaknya berminat untuk membeli kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Elon Musk, yang merupakan individu terkaya di dunia dengan anggaran kekayaan sebanyak £340 bilion (AS$424.6 bilion), dikatakan tidak membuat sebarang perbualan dengan FSG berhubung potensi pembelian Liverpool.

Menurut The Times, tiada sebarang hasrat untuk memulakan sebarang perbincangan selepas kenyataan daripada Errol Musk yang turut dilihat tidak serius.

Sumber dalaman mendakwa pemilik kelab tersebut tidak mahu melibatkan diri dalam perbincangan lanjut dan hanya lebih kepada menganggap kenyataan itu tidak mempunyai asas.

Sebelum ini, dalam satu temu bual bersama Times Radio melalui TalkSport, Errol Musk telah ditanya mengenai kemungkinan anaknya, Elon Musk, berminat untuk membeli Kelab Bola Sepak Liverpool.

Walaupun FSG telah menjual pegangan minoriti kepada firma pelaburan dari Amerika Syarikat, Dynasty Equity pada September 2023, nampaknya mereka tidak akan melayan sebarang tawaran daripada Elon Musk, meskipun jika ia melibatkan tawaran yang menguntungkan.

Sementara spekulasi mengenai pengambilalihan terus menjadi perbualan, Liverpool, di bawah pengendalian pengurus Arne Slot, kini sedang mempersiapkan diri untuk bertemu Tottenham dalam separuh akhir pertama Piala Carabao pada awal pagi Khamis.