PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam menegaskan jurulatih Masatada Ishii tidak akan dipecat walaupun skuad kebangsaan Thailand tewas di final Piala AFF 2024.
Thailand gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF yang telah dimenangi dua kali berturut-turut. Pasukan Gajah Perang tewas kepada Vietnam di final dengan agregat 3-5.
Ini merupakan kegagalan kedua Ishii bersama skuad kebangsaan Thailand. Sebelum ini, jurulatih dari Jepun itu juga gagal membawa Thailand melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Ini adalah rahsia yang tidak pernah saya kongsikan di mana-mana. Pada hari kami tidak layak ke Piala Dunia, Ishii datang bercakap secara langsung dengan saya. Dia berjanji untuk membentuk generasi baharu pemain bagi persiapan empat tahun akan datang,” ujar Madam Pang seperti yang dipetik daripada Thai Rath.
“Kita akan melihat pemain-pemain baharu. Kita mungkin perlu bersabar dan meluangkan masa, jadi jangan terlalu sensitif,” tambahnya.
Berhubung kegagalan di Piala AFF 2024, Madam Pang menyatakan bahawa kegagalan itu merupakan tanggungjawab jurulatih dan juga persatuan. Beliau turut mengakui bahawa Vietnam lebih bersedia dan mempunyai pasukan yang lebih baik dalam kejohanan tersebut.
“Kegagalan ini adalah tanggungjawab jurulatih dan presiden persatuan. Ishii telah memberitahu kami supaya tidak terpengaruh jika hasilnya tidak memuaskan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kelab yang dengan murah hati membenarkan pemain mereka menyertai pasukan. Ini membantu kami mengenal pasti ramai pemain baharu.
“Dengan pemain yang kami miliki dan Ishii berjaya membawa pasukan ke final, saya fikir dia telah melakukan tugas dengan baik. Maafkan saya, tetapi Vietnam menutup liga mereka selama dua bulan dan pergi ke Korea untuk berlatih,” tambahnya.
Berkenaan kedudukan Ishii, Madam Pang menegaskan bahawa jurulatih berusia 57 tahun itu akan terus mengendalikan skuad kebangsaan Thailand.
“Kita perlu menjaga imej persatuan bersama-sama kerana kita adalah satu pasukan. Penyokong bola sepak Thailand menyukai Ishii, dan beliau masih mempunyai kontrak selama setahun lagi dengan persatuan, yang perlu diteruskan,” ujar Madam Pang.