HANYA isu kecil membabitkan permukaan jalan, selebihnya perlumbaan berstatus 2.Pro itu, 100% bversedia.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, Emir Abdul Jalal berkata, masalah laluan, khususnya di Teluk Yu, menjelang peringkat pertama di Pulau Langkawi pada Ahad ini, telah diatasi dengan penurapan semula secara menyeluruh.
“Laluan sangat cantik, dan saya berterima kasih kepada pihak berwajib di Langkawi yang membantu menjadikannya lebih baik daripada perlumbaan sebelumnya,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Beliau juga menyentuh mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu dua minggu lalu, membabitkan hujan lebat menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan, menimbulkan kebimbangan di kalangan penganjur.
Namun, setelah mendapat pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa laluan akan siap, Emir berasa lega kerana semua lubang besar telah diperbaiki.
“Walaupun hujan lebat menjadi cabaran untuk laluan di Pulau Langkawi hingga peringkat keenam, perlumbaan tetap perlu dijalankan. Mengikut peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), jika berlaku banjir, kami akan melakukan zon neutral atau membatalkan perlumbaan,” tambahnya.

Pelumba mula menjalani latihan di sekitar bandar Langkawi.
Emir juga menegaskan bahawa mereka tidak asing dengan penggunaan laluan alternatif dan sebelum ini berjaya memulakan perlumbaan hingga ke garisan penamat tanpa masalah.
“Langkawi mempunyai laluan yang baik, dan kami telah membuat tinjauan untuk memastikan keadaan siap untuk perlumbaan,” jelasnya.
Dengan LTdL 2024 yang akan bermula pada Ahad ini, perlumbaan akan melibatkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,227.2 kilometer, termasuk laluan menarik di Pulau Langkawi serta dua bandar di Sarawak, Miri dan Bintulu.