AKSI dramatik Lucas Bergvall mencuri perhatian apabila remaja Sweden berusia 18 tahun itu menjaringkan gol kemenangan buat Tottenham Hotspur dalam separuh akhir pertama Piala Liga Carabao menentang Liverpool, namun kontroversi kad kuning mewarnai kemenangan 1-0 pasukan tuan rumah di London, awal pagi Khamis.
Bergvall, yang baru membuat penampilan senior bersama Spurs musim ini, menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-70 dengan rembatan deras menewaskan Alisson.
Namun, insiden sebelum jaringan itu menjadi buah mulut apabila pemain muda tersebut terselamat daripada dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan keras terhadap Kostas Tsimikas.
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, jelas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil Stuart Attwell yang tidak melayangkan kad kuning kedua kepada Bergvall, meskipun insiden itu disaksikan oleh pegawai keempat dan disemak melalui VAR.
Menurut Van Dijk, situasi itu memberikan kelebihan kepada Spurs ketika Tsimikas masih berada di luar padang untuk mendapatkan rawatan.
“Saya rasa semua orang boleh nampak itu adalah kad kuning kedua.
“Ia satu kesilapan besar dan malangnya, satu minit kemudian, dia (Bergvall) menjaringkan gol kemenangan. Saya bukan mengatakan ini sebab kami kalah, tapi ia adalah momen penting dalam perlawanan,” kata Van Dijk selepas perlawanan.
Liverpool, yang sebelum ini mencatat rekod 24 perlawanan tanpa kalah di bawah kendalian pengurus Arne Slot, akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan kedua musim ini.
Slot turut menyuarakan rasa kecewanya terhadap keputusan pengadil, menegaskan bahawa insiden itu memberikan impak besar terhadap keputusan perlawanan.
“Kami masih ada peluang untuk bangkit di Anfield, tapi keputusan itu telah banyak mempengaruhi perlawanan malam ini.
“Saya diberitahu oleh pegawai keempat kenapa ia bukan kad kuning kedua, tapi saya tetap tidak bersetuju,” kata Slot.
Kemenangan ini memberikan Spurs sedikit kelebihan menjelang aksi timbal balik di Anfield pada Februari, namun kontroversi kad kuning Bergvall pastinya akan terus diperkatakan.
Bagi pasukan Liverpool, mereka kini perlu tampil lebih agresif untuk memastikan peluang ke final tidak terlepas begitu sahaja.