PENGENDALI Oman, Silhavy Jaroslav sedar Malaysia bukan datang ke Oman untuk sekadar makan angin tetapi adalah pasukan yang bagus dan mereka perlu mencari solusi terbaik untuk mendapat mata penuh di laman sendiri.
Silhavy yang baru memegang jawatan ketua jurulatih bagaimanapun tetap yakin mereka boleh mencatat kemenangan berdasarkan ranking yang dihuni mereka selain faktor bermain di hadapan penyokong mereka sendiri.
Namun, dia tetap berhati-hati dengan skuad Harimau Malaya kerana menyedari kekuatan skuad bimbingan Kim Pan-gon yang kini menghuni tangga teratas Kumpulan D selepas dua perlawanan.

Pengendali Oman, Silhavy Jaroslav
“Kami tahu Malaysia datang ke sini bukan untuk melancong. Mereka mempunyai pasukan yang baik terutama di bahagian serangan. Kami akan cari solusi terbaik untuk menyekatnya dan yakin akan muncul sebagai pemenang.
“Malaysia mempunyai skuad yang baik dan kami sudah melakukan analisa dan sudah mengenalpasti kekuatan dan kelemahan mereka tetapi kami percaya kami sudah bersedia untuk perlawanan ini dan mendapatkan tiga mata,” katanya dalam sesi sidang media pra perlawanan di Muscat.
Silhavy juga mengakui dia mempunyai masa yang singkat dalam mempersiapkan pasukan kerana dia baharu mengambil alih tampuk kejurulatihan namun percaya dengan kebolehan para pemainnya untuk meraih kemenangan.

Oman bersedia kutip tiga mata keatas Malaysia
“Saya hanya sempat mengendalikan lapan sesi latihan kerana baru menggalas tugas sebagai jurulatih. Kesemua pemain menjalankan tugas dengan baik semasa latihan dan ini memberikan keyakinan buat pasukan untuk menewaskan Malaysia,” jelasnya.
Oman memerlukan tiga mata penuh untuk kembali bersaing dalam Kumpulan D dan mahukan seberapa banyak penyokong hadir ke stadium untuk memberikan sokongan dalam ujian sulung Silhavy.