MENTERI Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran HydroCharge Ready To Drink, minuman hidrasi sedia diminum hasil kerjasama strategik antara Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN Selangor) dan BS Fitness Nutrition (M) Sdn. Bhd. dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan serta menyokong prestasi atlet di negeri Selangor.

HydroCharge Ready To Drink merupakan minuman elektrolit berperisa laici yang dirumus khas bagi membantu menggantikan elektrolit yang hilang serta menyokong hidrasi optimum sebelum, semasa dan selepas aktiviti fizikal. Produk ini juga hadir tanpa gula tambahan dan boleh diminum terus tanpa perlu dibancuh, menjadikannya pilihan praktikal untuk atlet serta individu yang mengamalkan gaya hidup aktif.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh kepimpinan Majlis Sukan Negeri Selangor, wakil-wakil industri sukan, atlet-atlit SUKMA Selangor serta rakan strategik yang bersama-sama meraikan pengenalan produk hidrasi baharu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas BS Fitness Nutrition (M) Sdn. Bhd, Yang Mulia Raja Lokman bin Raja Ahmad berkata, pelancaran HydroCharge Ready To Drink merupakan satu pencapaian penting buat syarikat dalam menawarkan penyelesaian hidrasi yang lebih praktikal dan berkualiti kepada atlet serta masyarakat.

“Pelancaran HydroCharge Ready To Drink merupakan satu pencapaian penting buat BS Fitness Nutrition. Kami percaya setiap atlet memerlukan sokongan hidrasi yang berkualiti, mudah diakses dan memenuhi keperluan latihan serta pertandingan. HydroCharge Ready To Drink dibangunkan bagi memberikan penyelesaian hidrasi yang praktikal tanpa mengorbankan kualiti.”

Beliau berkata, kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Selangor membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh pembangunan sukan melalui penyediaan produk nutrisi dan hidrasi yang berkualiti.

“Kami amat berbangga dapat menjalin kerjasama strategik dengan Majlis Sukan Negeri Selangor. Kepercayaan yang diberikan ini membuktikan keyakinan terhadap jenama tempatan dalam menyokong pembangunan sukan. Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada atlet Selangor, malah menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dalam memperkukuh ekosistem nutrisi, hidrasi dan prestasi sukan di Malaysia,” katanya.

Pelancaran HydroCharge Ready To Drink dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama antara sektor sukan dan industri nutrisi, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan atlet yang lebih cemerlang serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.