LITAR Jalanan Marina Bay, litar rasmi Grand Prix Singapura sejak diperkenalkan pada 2008 akan mengalami perubahan yang agak ketara untuk perlumbaan Formula 1 musim 2023.

Grand Prix Singapura, perlumbaan pada sebelah malam pertama dalam sejarah sukan ini adalah antara litar yang digemari penonton dengan corak litar yang mencabar dan menarik di bawah lampu limpah.

Perubahan ini perlu dilakukan F1 dan FIA selepas perlumbaan Grand Prix Singapura yang kelam kabut akibat hujan dan ia juga antara perlumbaan paling sukar dalam kalendar buat pemandu kerana perlu mengharungi 61 pusingan perlumbaan dalam tempoh hampir dua jam.

 

Dengan keadaan litar jalan raya, memotong adalah sangat sukar dan ini terbukti dalam perlumbaan musim ini apabila pelumba Ferrari, Charles Leclerc gagal memintas pemenang, Sergio Perez meskipun mempunyai jentera yang lebih pantas.

Pihak penganjur siap untuk melakukan perubahan pada litar untuk meningkatkan peluang memotong dan juga meningkatkan purata kelajuan sepusingan untuk menjadikannya lebih pantas.

Menerusi laman web rasmi GP Singapura dimana tiket untuk perlumbaan tahun hadapan sudah pun mula dibuka, penonton boleh melihat sendiri perubahan yang dilakukan pada litar itu.

Selekoh ke-16 dan 19 telah dialihkan untuk membenarkan litar itu lebih terbuka dan mempunyai tambahan laluan lurus yang berpotensi untuk membantu meningkatkan peluang memintas.

Jika benar litar ini diubah, ini akan menyaksikan kereta Formula 1 tidak lagi akan melalui ‘Bay Grandstand’, salah satu grandstand terbesar dalam kalendar Formula 1 namun perubahan ini masih belum disahkan secara rasmi oleh penganjur litar.

Perubahan litar bukanlah perkara baharu dalam sukan terpantas dunia ini apabila Litar Albert Park yang menjadi penganjur Grand Prix Australia dan Litar Yas Marina, penganjur Grand Prix Abu Dhabi turut melakukan perubahan untuk meningkatkan lagi kualiti perlumbaan.

Grand Prix Singapura 2022 telah mencatatkan rekod kehadiran tertinggi dengan 302,000 pengunjung dan akan menganjurkan pusingan ke-17 dari 24 perlumbaan pada 2023 dari 15 hingga 17 September.