KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski, tidak berselindung dalam menegaskan bahawa bola sepak Malaysia mungkin sudah lama hilang arah tanpa sentuhan dan pengaruh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam sidang media selepas kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Laos dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane malam tadi, Clamovski secara terbuka menyatakan penghargaan terhadap peranan besar TMJ yang dianggap menjadi nadi kebangkitan skuad kebangsaan.

“Banyak perkara negatif dikatakan mengenai TMJ, dan ia tidak adil. Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia akan terkubur,” tegas jurulatih berusia 46 tahun itu yang memuji tahap profesionalisme tinggi ditunjukkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

 

Jurulatih kelahiran Australia itu turut memuji semangat pemain yang tampil berdisiplin meskipun beraksi di atas padang yang sukar akibat keadaan cuaca. “Saya berbangga dengan pemain. Keadaan padang tidak mudah, terdapat lopak, tetapi mereka berjaya mengawal permainan dan sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol lagi,” ujarnya.

Tambah Clamovski, segala kemelut dan kekecohan luar padang yang melanda ketika ini tidak akan menjejaskan fokus pasukannya. Baginya, apa yang berlaku di luar adalah urusan pihak lain, dan beliau hanya mahu menumpukan kepada apa yang boleh dikawal bersama pemain.

“Apa konflik yang berlaku dengan FIFA, itu adalah urusan FAM, bukan TMJ. Kami hanya fokus untuk memberikan yang terbaik buat negara,” katanya yang kekal realistik dengan misi membawa Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia 2027.

Malaysia ketika ini beraksi tanpa tujuh tonggak warisan selepas FAM didapati mengemukakan dokumen tidak sah, sekali gus melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang melibatkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.