PERTEMUAN Kuala Lumpur City FC dan Penang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini pastinya mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan dengan kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri.
KL City semestinya mahu kembali ke landasan kemenangan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC sekaligus merencatkan kebangkitan yang cuba dilakukan.
Sekali lagi, anak-anak buah Bojan Hodak pastinya mahu menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mengutip mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan dalam barisan pasukan liga.
Sementara itu Penang FC yang bakal diterajui oleh Manzoor Azwira yang menggantikan Tomas Trucha akan turun untuk mencari kemenangan sulung dalam Liga Super musim ini.

Skuad Harimau Kumbang mengimpikan mata penuh pertama bertemu KL City FC. Foto: PENANG FC
Selepas berjaya menamatkan liga di tangga ketiga musim lalu, segalanya seakan tidak menjadi buat skuad Harimau Kumbang yang kini terperosok di dasar liga hanya dengan tiga mata hasil tiga keputusan seri.
Lantikan Manzoor ke jawatan ketua jurulatih Interim ini nyata menggembirakan para penyokong Penang FC yang yakin dengan kemampuan jurulatih tempatan itu selepas apa yang pernah dia lakukan pada beberapa musim yang lalu.
Secara keseluruhannya, KL City mampu melonjak ke tangga kelima jika berjaya mencatat kemenangan malam ini dan semestinya Hodak mahu mengambil kesempatan ke atas skuad Penang FC yang bergelut untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Pemain-pemain KL City FC pastinya mahu bangkit selepas tewas dua perlawanan berturut-turut sebelum ini. Foto: KLCITYFC
Sementara itu, jika berjaya mencapai kemenangan pertama, Penang FC masih tidak akan berjaya keluar dari zon relegasi namun sekurang-kurang mampu memberikan sinar positif buat para pemain dan penyokong Harimau Kumbang.