USIANYA sudah menginjak 38 tahun, namun keghairahan dan api semangat Khairul Effendy Bahrin masih menyala garang.

Kapten skuad futsal kebangsaan itu tekad memacu Malaysia kembali berada dalam kelompok 16 pasukan terbaik Asia selepas lapan tahun, dengan menyambar tiket beraksi di Piala Asia 2026.

Untuk merealisasikan misi itu, Khairul Effendy menegaskan skuad Harimau Malaya perlu tampil berani dan bertenaga dalam tiga aksi di pusingan kelayakan yang bermula hari ini di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan G akan membuka tirai saingan menentang UAE, sebelum berdepan Bangladesh dan gergasi Asia, Iran.

Lapan pasukan juara kumpulan dan tujuh naib juara terbaik di pusingan kelayakan akan menyertai tuan rumah Indonesia di edisi ke-18 Piala Asia pada Januari depan.

“Ini masa yang tepat untuk buktikan kita layak berada dalam kalangan terbaik Asia. Bagi saya, tiada alasan, kita akan bermain (pusingan kelayakan) di tempat sendiri, ia adalah satu kelebihan besar yang perlu dimanfaatkan.

“Kita perlu berikan lebih dari 100 peratus, bukan sahaja menentang UAE, tetapi dalam setiap perlawanan. Kuncinya, disiplin, fokus dan elakkan kesilapan.

“Kita tidak boleh fikir pada Iran semata-mata, tiada lawan yang mudah, dalam masa sama kita perlu tunjukkan kita juga bukan lawan mudah. Pada akhirnya, kita yang akan menentukan peluang kita,” ujar Khairul Effendy yang memimpin Selangor menjulang Malaysia Futsal Cup pada Ogos lalu.

Khairul Effendy adalah pemain paling senior di dalam pasukan, dan dia turut berterima kasih kepada Rakphol atas kepercayaan yang diberikan untuk terus berbakti kepada pasukan negara.

sumber: Muhammad Aiman