MANCHESTER United kini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjual dua bintang muda mereka, Kobbie Mainoo dan Alejandro Garnacho, sebagai langkah menghadapi tekanan kewangan dan mematuhi peraturan Profit and Sustainability Rules (PSR).

Menurut laporan awal oleh Daily Mail, kedua-dua pemain lulusan akademi ini dianggarkan bernilai sekitar £70 juta (RM406 juta), menjadikannya aset penting untuk menjana pendapatan. 

Pemain akademi yang dijual dianggap sebagai keuntungan bersih dalam lembaran kewangan kelab, memberikan insentif besar kepada United untuk meneruskan langkah ini di tengah-tengah masalah kewangan mereka.

Keadaan kewangan kelab yang terdesak memaksa pengurusan melihat kepada kemungkinan menjual Mainoo dan Garnacho.

Alejandro Garnacho pernah memenangi Anugerah Gol Tercantik Manchester United untuk musim 2022/2023

Penilaian semasa mereka, berdasarkan potensi tinggi yang dimiliki kedua-dua pemain, dijangka mampu memberi suntikan kewangan yang amat diperlukan oleh United.

Garnacho, yang sebelum ini dianggap sebagai tonggak masa depan kelab, kini berdepan cabaran besar di bawah kendalian pengurus baharu Ruben Amorim.

Pemain sayap Argentina berusia 19 tahun itu dilaporkan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan formasi 3-4-3 yang diterapkan oleh Amorim.

Selain itu, Garnacho juga telah diketepikan daripada kesebelasan utama dalam lima perlawanan terakhir, meningkatkan kemungkinan namanya akan tersenarai untuk dijual.

Sementara itu, situasi Kobbie Mainoo juga agak kompleks kerana pemain tengah berusia 19 tahun itu menarik minat beberapa kelab Eropah utama, termasuk Chelsea.

Alejandro Garnacho (kanan) dan Kobbie Mainoo (kiri) adalah produk akademi Manchester United dan kini mewakili generasi baharu kelab

Namun, Mainoo kini terjebak dalam pertikaian kontrak dengan United kerana permintaannya untuk gaji £200,000 (RM1.16 juta) seminggu sukar dipenuhi oleh kelab yang sedang berusaha mengurangkan perbelanjaan gaji.

United, yang sedang berusaha melepaskan pemain bergaji tinggi seperti Marcus Rashford, Casemiro, dan Antony, menghadapi cabaran besar untuk memenuhi tuntutan gaji Mainoo.

Jika persetujuan gagal dicapai, United mungkin terpaksa melepaskan bakat muda itu, sama ada dalam jendela perpindahan Januari ini atau pada musim panas akan datang.

Sebagai tambahan, laporan daripada media antarabangsa baru-ini memberitahu situasi ini menunjukkan tekanan besar yang sedang dihadapi United.

Walaupun langkah menjual pemain muda berbakat seperti Mainoo dan Garnacho mungkin dilihat sebagai keputusan drastik, ia dianggap perlu bagi kelangsungan kewangan kelab.

Manchester United kini berdepan pilihan sukar menjual dua bintang muda ini atau terus mencari alternatif untuk mengatasi cabaran kewangan mereka.

Apa pun keputusannya, langkah ini bakal memberi kesan besar kepada hala tuju masa depan kelab gergasi England tersebut.