TERENGGANU FC dan Shan United akan berentap dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Kejohanan Kelab ASEAN/AFF Shopee Cup 2024-2025, dengan misi meraih tiga mata penting untuk mengintai peluang ke pusingan seterusnya.

Ketua jurulatih Shan United, Hirokiono, menegaskan kepentingan perlawanan hari ini selepas pasukannya gagal mencatat keputusan memberangsangkan dalam dua perlawanan terdahulu.

“Perlawanan esok (hari ini) sangat penting untuk kami kerana keputusan dalam dua perlawanan sebelum ini tidak begitu baik.

“Terengganu adalah sebuah pasukan dengan pemain-pemain terbaik, termasuk pemain import yang berkualiti. Namun, semua kelemahan pasukan telah kami perbaiki,” ujar Hirokiono dalam sidang media pra perlawanan di Yangon pada Rabu.

Ketua jurulatih Shan United, Hirokiono

Sebagai juara Liga Nasional Myanmar, Shan United tampil dengan harapan tinggi untuk memberi saingan sengit, meskipun mereka kini berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, mengakui bahawa pasukannya akan menghadapi cabaran getir tanpa khidmat tiga pemain import utama mereka.

“Tiga pemain import yang kami harapkan tidak dapat disenaraikan. Namun, saya percaya pemain tempatan akan memberikan yang terbaik,” kata Badrul.

Selain itu, Badrul turut memuji lawan mereka, Shan United, sebagai sebuah pasukan yang dihormati berdasarkan reputasi mereka sebagai juara Myanmar.

Ketua jurulatih Terngganu FC, Badrul Afzan Razali.

“Pasukan Shan United adalah juara Liga Nasional Myanmar. Jadi, mereka pasti akan bersaing dengan penuh semangat.

“Perlawanan hari ini sangat penting untuk mendapatkan tiga mata bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya,” tambahnya.

Berdasarkan kedudukan semasa, PSM, BG Pathum United, dan Thanh Hoa berkongsi empat mata masing-masing selepas dua perlawanan.

Svay Rieng pula di tangga keempat dengan tiga mata, diikuti Terengganu (1) mata manakala Shan United yang masih tanpa sebarang mata.

Dengan hanya dua perlawanan berbaki, Terengganu FC perlu memanfaatkan sepenuhnya perlawanan hari ini untuk menyalakan kembali harapan mara ke peringkat seterusnya.