KEADAAN terkini pemain badminton beregu wanita negara, Pearly Tan telah mencemaskan kem badminton negara.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berkata pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan yang berulang yang pernah menimpa Pearly iaitu di bahagian belakang.

“Memang untuk setakat ini Pearly ada sedikit (kecederaan) di bahagian pinggang kerana sebelum ini dia mengalami kesakitan di bahagian belakang.

Rexy Mainaky menjelaskan situasi terkini Pearly.

“Dia ada buat satu kesilapan satu atau dua minggu sebelum Badminton Asia Championship (BAC), dia sepatutnya harus pergi (meneruskan rawatan) tapi dia rasa sudah okay dan sudah berhenti dan tidak pergi (meneruskan rawatan),” kata Rexy.

Menurutnya lagi, ia menyebabkan kecederaan lama Pearly kembali dan terpaksa diketepikan dari latihan yang berat bagi memberi fokus kepada sesi pemulihan.

“Sekarang ini dia sudah balik kembali dan buat rawatan sambil dia berlatih, mungkin tidak memerlukan banyak pergerakan tapi Thinaah (Muralitharan) sudah mula menjalani latihan yang normal dan seperti biasa,” katanya.

Pearly Tan-M Thinaah tidak terlibat dengan saingan Piala Uber bagi menyiapkan diri untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan beregu wanita di ranking ke-14 dunia itu kini sedang melakukan persiapan rapi untuk menghadapi beberapa kejohanan sebelum melakukan penampilan pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Mereka juga tidak disenaraikan oleh BAM untuk mewakili pasukan badminton wanita negara ke Piala Uber di Chengdu, China minggu lalu bagi memberikan fokus kepada proses rehabilitasi dan sesi latihan untuk temasya sukan berprestij itu.