HAKIM Danish Ramli tidak kisah berdepan cabaran bersendirian ke Sepanyol kerana sudah mengenali selok-belok pasukan MT Helmets MSI, sekali gus menjadikan pengalaman itu sebagai kelebihan menjelang musim penuh pertamanya dalam Moto3.
Biarpun pelumba berusia 19 tahun itu mengakui perasaannya bercampur baur menjelang pembukaan tirai Kejuaraan Motosikal Dunia di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, dari 27 Februari hingga 1 Mac ini, namun hakikat pernah berkerjasama dengan pasukan terbabit sebelum ini, melenyapkan kegusaran.
MT Helmets MSI bukan pasukan asing buat Hakim Danish kerana dia pernah mewakili pasukan sama di GP Portugal dan Valencia musim lalu bagi menggantikan Ryusei Yamanaka yang cedera.

Pada dua penampilan itu, pelumba muda negara berkenaan mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan dalam kelompok 15 terbaik, masing-masing di tempat ke-12 dan ke-14.
“Saya sudah mengenali pasukan dengan baik, persiapan berjalan lancar dan saya rasa bersedia serta tidak sabar untuk berlumba di Thailand,” katanya.
Keserasian bersama krew dan kefahaman terhadap sistem kerja pasukan menjadi aset penting menjelang musim baharu ini.
“Yang bermain di fikiran saya semua ada, gementar dan gembira, tetapi saya ambil semuanya secara positif dan menikmati perlumbaan pertama nanti,” katanya.