Select Page

Masters Indonesia: Sekali lagi… Zii Jia kandas pusingan kedua

Masters Indonesia: Sekali lagi… Zii Jia kandas pusingan kedua

PERBURUAN gelaran pertama 2023 berterusan dengan satu lagi kekecewaan buat Lee Zii Jia apabila tersingkir awal lagi, kali ini menjadi mangsa di Masters Indonesia selepas kalah kepada wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long, Khamis.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut tahun ini Zii Jia tidak dapat merasai aksi suku akhir, selepas terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan tersekat di pusingan kedua Terbuka India, minggu lalu.

Selepas memenangi set pertama, Zii Jia yang menduduki ranking keempat dunia bergelut pada permainan penentuan sebelum tumpas 21-16, 20-22, 13-21.

Lee Zii Jia kini bagai tidak mampu untuk bermain tiga set.

Kekalahan ini adalah yang kedua Zii Jia kepada pemain ranking ke-18 dunia itu, selepas kekalahan di suku akhir Terbuka New Zealand 2019.

Sementara itu beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah mara ke suku akhir selepas mengalahkan pasangan senegara, Vivian Hoo- Lim Chiew Sien 21-13, 21-16.

Menanti mereka di suku akhir esok ialah wakil China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan yang terdahulu menewaskan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong 22-20, 22-24, 21-12.

Pearly Tan-M Thinaah meneruskan prestasi baik di Indonesia Masters.

Turut mara ke suku akhir ialah pasangan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menumpaskan Mathias Thyrri-Amelie Magelund dari Denmark, 21-19, 21-16.

Esok mereka akan berdepan pilihan ketiga dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang sebelum itu menjinakkan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 12-21, 22-13, 21-18.

Pasangan beregu lelaki profesional, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan selepas kalah 17-21, 17-21 kepada gandingan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi.

Video Terkini

Loading...