Select Page

Cabaran lebih getir menanti Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk ke Olimpik Paris

Cabaran lebih getir menanti Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk ke Olimpik Paris

BELUM ada jaminan untuk gandingan beregu campuran meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mudah melayakkan diri ke Olimpik, biarpun ranking gandingan itu naik mendadak selepas hanya dua kejohanan tahun ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky berkata, banyak lagi cabaran perlu pasangan itu tempuhi, begitu juga dengan sepasang lagi gandingan baru dilahirkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing.

“Peluang belum cerah kerana semakin tinggi ranking, semakin banyak cabaran untuk mereka hadapi, dan mereka perlu buktikan bahawa mereka boleh melepasi cabaran-cabaran itu,” kata Rexy.

Sejak digandingkan November lalu, Tang Jie-Ee Wei mula beraksi di Cabaran Antarabangsa Bangladesh 7-11 Disember tahun lalu, dan muncul juara di kejohanan pertama mereka, manakala Pang Ron-Mei Xing pula mara ke separuh akhir kejohanan sama.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu lebih konsisten dan meningkatkan kemampuan diri terutamanya dari segi mental bagi menghadapi pemain di ranking lebih tinggi.

Beralih ke Cabaran Antarabangsa Malaysia (13-18 Disember), Tang Jie-Ee Wei muncul naib juara selepas tewas di final di tangan Pang Ron-Mei Xing, yang mengungguli kejohanan itu.

Meskipun ranking mereka jauh di belakang, peluang beraksi di Terbuka Malaysia berstatus Super 1000 tidak disia-siakan.

Peluang bertemu pemain di ranking lebih tinggi dimanfaatkan sebaik mungkin hingga menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mara hingga ke suku akhir, ketika pemain senior negara kandas di pusingan awal.

Sementara Pang Ron-Mei Xing pula layak ke pusingan kedua.

Aksi di Terbuka India pula menyaksikan Tan Jig-Ee Wei kandas di pusingan kedua, manakala Pang Ron-Mei Xing di pusingan pertama.

“Apa yang bagus buat mereka sebagai gandingan baru adalah, setiap kali mereka menyertai kejohanan, mereka pasti secara automatik mengumpul mata, ini memudahkan peluang buat mereka menempatkan diri ke ranking terbaik sebelum permulaan kejohanan yang menawarkan mata Olimpik.

“Sudah tentu kedudukan ranking mempengaruhi peluang mengumpul mata, kerana hanya pemain di ranking teratas layak mengambil bahagian dalam kejohanan yang berstatus tinggi,” kata Rexy, yang gembira dengan prestasi pemain beregu campuran yang dilihat serasi dengan corak latihan kendalian bekas juara dunia dua kali serta pemenang pingat perak sukan Olimpik 2018.

Teoh Mei Xing perlu meningkatkan kemahiran beraksi dalam beregu campuran bersama Hoo Pang Ron.

Berdasarkan kemaskini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 24 Januari, Tang Jie-Ee Wei menghuni ranking 57 dunia manakala Pang Ron-Mei Xing di ranking 73 dunia.

Selepas menyertai dua kejohanan besar berstatus Super 1000 (Terbuka Malaysia) dan Super 750 (Terbuka India), kedua-dua gandingan ini akan bersaing di Cabaran Antarabangsa Fajr, di Iran 31 Januari hingga 5 Februari depan.

Mata kelayakan ke Olimpik Paris 2024 bagi sukan badminton akan mula ditawarkan bermula 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024, membabitkan kejohanan diiktiraf BWF seperti Kejohanan Dunia, Jelajah Dunia selain kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas & Uber, Piala Sudirman, serta kejohanan individu dan berpasukan di peringkat benua.

Mengikut kalendar BWF, kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan Olimpik Paris adalah kejohanan berpasukan campuran, Piala Sudirman yang dijangka berlangsung di Suzhou, Shina, 14 hingga 21 Mei depan.

Video Terkini

Loading...