SENARIO sukan negara ketika ini bertumpu kepada persediaan atlet ke Sukan Olimpik Paris, namun berbaki 45 hari sahaja lagi sebelum Temasya Paris 2024, bermula, apakah sasaran yang bakal ditetapkan kepada kontinjen negara.
Adakah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mahu meneruskan sasaran tanpa menetapkan warna pingat, atau ada pingat emas yang ditetapkan.
Mengambil kira pencapaian enam emas, lapan perak dan 18 gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 yang disimpulkan MSN, sebagai kejayaan terhadap pendekatan sasaran tanpa warna pingat, kemungkinan ianya diteruskan tetap ada.
Namun, dengan wujudnya Program Road to Gold (RTG), yang menjadi pemacu perburuan pingat emas pertama negara di pentas Sukan Olimpik, sudah tentu ia menjadi persoalan sekiranya kilauan emas tidak ditetapkan sebagai sasaran utama ke temasya itu.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, mekanisme terbaik perlu ditentukan dalam mesyuarat, sebelum pengumuman mengenainya dibuat.
Malah satu mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan diatur sebelum pengumuman rasmi sasaran.
“Perbincangan antara MOM, KBS, dan MSN akan diadakan, selepas berbincang, kami akan membawa perkembangan terbaharu kepada media,” kata Norza, selepas Majlis Menandatangani Memorandum
Perjanjian bagi penyaluran peruntukan kewangan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melalui kaedah empowerment bagi tahun 2024, di MSN, Bukit Jalil.
Menurut Norza, beliau tidak mahu atlet berada dalam keadaan tertekan, kerana berpendapat setiap atlet memasang impian untuk beraksi di Sukan Olimpik.
“Mereka sudah berusaha selama empat tahun untuk ke sana dan ini adalah langkahan akhir untuk kita memberi sokongan sekuat-kuatnya kepada mereka,” ujar Norza lagi.
Dalam pada itu, Norza menjangkakan kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris akan diwakili 24 hingga 25 atlet.
“Setakat ini kita ramalkan saiz kontinjen dalam 24 atau 25 orang atlet namun masih menunggu hingga ke hujung bulan ini, jika ada penambahan atlet,” katanya.
Sukan memanah masih belum berakhir pusingan kelayakan dan skuad memanah negara memburu slot acara berpasukan pada kejohanan yang akan berlangsung di Antalya 15 hingga 16 Jun ini.
Malah, beberapa atlet terjun juga masih menanti menerusi slot atlet simpanan selain olahraga yang masih menunggu tiket wildcard.
Untuk rekod, antara sandaran emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris adalah menerusi jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan dua wakil badminton, Lee Zii Jia serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik.