BUKAN sekadar bekas pemain, mereka adalah simbol era kegemilangan Manchester United.

Selain sorakan di Old Trafford dan kilauan trofi dalam almari kelab, tersimpan sejuta kisah yang sukar dilupakan Dimitar Berbatov, Nemanja Vidic dan Luis Nani.

Tiga legenda Manchester United itu berada di Kuala Lumpur selama tiga hari, sebagai sebahagian daripada kempen promosi Malaysia Aviation Group (MAG) di MATTA Fair.

Anak jati Bulgaria, Berbatov, pernah digelar penyerang berkelas dunia berkata, setiap detik menyarung jersi merah itu adalah seperti mimpi yang menjadi nyata.

“Saya datang dari negara kecil. Jadi, untuk menjadi sebahagian daripada kelab sebesar United adalah kemuncak hidup saya. Setiap kali melangkah ke padang, saya tahu saya sedang mewakili satu legasi. Ia sesuatu yang saya akan kenang sampai bila-bila,” katanya, dalam sidang media MAG di MITEC.

Berbatov tidak membicarakan hanya satu perlawanan, dan bukan satu jaringan.

Sebaliknya memgenai perasaan – rasa bangga, rasa hormat, dan rasa bertuah kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada dirinya.

Namun bagi Vidic pula, sebagai bekas pertahanan kental yang digeruni lawan, dia masih terkenangkan satu malam di Moscow menjadi momen yang akan terpahat dalam kepalanya selama ini.

“Final Liga Juara-Juara 2008. Kami menang lawan Chelsea. Saya pernah bermain di stadium itu sebelum ini di Rusia, dan kembali untuk menjulang trofi sebagai pemain Manchester United… ia seperti satu bulatan kehidupan yang sempurna,” katanya, sambil mengakui peluang bermain di England sebagai pemain dari Rusia bukan sesuatu yang mudah.

Vidic bukan sahaja membawa pulang trofi pada malam itu – dia membawa pulang kebanggaan buat dirinya dan keluarganya.

Katanya, di tengah hujan yang turun lebat di Stadium Luzhniki, dia berdiri teguh sebagai pahlawan.

Turut berkongsi momen indah bersama kelab gergasi itu, Nani – anak muda Portugal yang pada ketika itu berdiri penuh semangat sewaktu tiba di Old Trafford.

Malam kemenangan di Moscow itu juga menjadi titik mula kepada segala-galanya.

“Itu tahun pertama saya. Saya masih muda, banyak belajar dalam satu malam itu saja. Perlawanan itu, emosi itu, dan sambutan selepasnya… ia luar biasa. Sampai sekarang, peminat masih bercakap tentang malam itu. Dan saya masih merasainya,” katanya sambil tersenyum mengimbas kenangan.

Mereka tidak lagi beraksi di atas padang. Nama mereka mungkin tidak lagi terpampang di papan skor.

Tetapi dalam hati peminat, kisah mereka terus hidup – seperti nyanyian “Glory Glory Man United” yang tak pernah padam di tepi padang.

Dan mungkin, itulah yang paling bermakna.