“JANGAN tunggu sampai tak boleh tahan, baru nak cari bantuan.” Itu nasihat bekas pemain badminton negara, Goh Liu Ying kepada Lee Zii Jia susulan hantaran berunsur emosi yang dimuat naik pemain profesional perseorangan lelaki itu di Instagram miliknya, semalam.
Bagi Liu Ying, tekanan adalah ‘rakan seperjuangan’ setiap atlet, namun bagaimana mereka memilih untuk menguruskan tekanan itu akan menentukan hala tuju karier masing-masing. Katanya, penting untuk mana-mana pemain mengenali batas kemampuan mental sendiri dan tidak malu mendapatkan bantuan profesional sekiranya sudah tidak mampu menghadapinya seorang diri.

Goh Liu Ying sendiri pernah melalui fasa tekanan ketika bergelar pemain, dan pernah mendapatkan khidmat pakar psikologi.
“Kalau tekanan dah sampai satu tahap kita tak boleh handle, memang kena jumpa psikologis. Saya sendiri sebelum Olimpik pun pernah jumpa,” katanya, ketika ditemui selepas program Prihatin Sukan: Untukmu Jaguh Negara anjuran penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Bukit Kiara.
“Masalahnya ramai rasa mereka ‘ok’ walaupun sebenarnya tidak. Bila dah berani mengaku dan cari bantuan, barulah ada jalan keluar.”

Antara hantaran ilustrasi dikongsi Lee Zii Jia di akaun Instagram miliknya.
Komen dari Liu Ying itu dibuat selepas diminta mengulas mengenai hantaran Zii Jia yang sekadar memaparkan ilustrasi hitam putih tanpa kapsyen, yang disifatkan ia sebagai bentuk luahan tekanan secara tidak langsung yang perlu diberi perhatian.
“Saya rasa ini cara dia lepaskan tekanan. Orang luar mungkin tak faham, tapi dia sendiri tahu apa yang dia rasa. Ini zaman media sosial, tekanan itu akan sentiasa ada, jadi dia kena cari cara untuk seimbangkan diri dia semula,” ujarnya.

Antara hantaran ilustrasi dikongsi Lee Zii Jia di akaun Instagram miliknya.
Tambah Liu Ying, beliau berasakan fasa pemulihan kecederaan juga menjadi antara cabaran terbesar buat mental mana-mana atlet, lebih-lebih lagi pemain profesional seperti Zii Jia yang turut bergantung kepada sokongan penaja.
“Sponsor pun akan mula tanya bila boleh turun semula ke gelanggang. Jadi, dia bukan saja lawan sakit fizikal, tapi juga tekanan untuk pulih dan kembali beraksi dengan prestasi terbaik,” katanya.