KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) tampil menamatkan spekulasi liar yang mengaitkan Malaysia dengan isu pemain naturalisasi tidak layak dalam aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam baru-baru ini, apabila mengesahkan tiada aduan diterima setakat ini.
Ketika dihubungi di New York bagi urusan Piala Dunia Kelab FIFA 2025, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menegaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi atau aduan berhubung dakwaan tersebut susulan kemenangan 4-0 Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
“Tiada maklumat yang dikemukakan kepada AFC mengenai isu ini. Status pemain adalah di bawah bidang kuasa FIFA,” katanya ringkas namun tegas.
Lima pemain naturalisasi negara, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Rodrigo Hidalgo dan Jon Irazabal mencipta penampilan sulung dalam perlawanan berkenaan dan menjadi watak penting kemenangan besar Malaysia ke atas Vietnam.
Bagaimanapun, kejayaan itu turut mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak, khususnya media dari Vietnam dan Indonesia, yang mendakwa Malaysia berisiko berdepan denda besar atau keputusan dibatalkan jika status kelayakan pemain terbabit didapati bermasalah.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman, segera tampil menafikan dakwaan tersebut, sambil menegaskan bahawa semua proses dokumentasi pemilihan pemain telah mematuhi peraturan FIFA sepenuhnya.
“Sehingga kini, kami belum menerima sebarang surat atau notis daripada FIFA mahupun AFC. Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat,” tegas Azman.
Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam, di bawah bimbingan jurulatih baharu Peter Cklamovski. Fokus kini terarah kepada aksi timbal balik penting menentang Laos pada Oktober ini.