DATUK Seri Megat D.Shahriman Zaharudin membatalkan niatnya untuk bertanding jawatan Presiden pada Kongres Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan berlangsung bulan depan.

Mengambil kira faktor kekangan masa untuk berbuat demikian, Megat memberitahu terpaksa membatalkan niatnya itu.

“Memang pada awalnya saya amat berminat untuk bertanding, tetapi dalam keadaan kekangan masa saya yang sibuk, saya menangguhkan niat itu dulu. Secara peribadi, saya memang berminat membantu sukan bola sepak negara, tetapi mungkin belum masa lagi.

“Lebih penting, saya mahu menumpukan tanggungjawab yang sedia ada di Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) serta beberapa lagi dalam persatuan sukan lain.

“Tugas presiden bukan hanya pada gelaran, sebaliknya ia adalah tanggungjawab besar kepada rakyat yang mengharapkan perubahan positif serta mencapai sasaran,” katanya.

Tambah Megat, memandangkan beliau kini berada di India urusan kerja.

“Hari ini dah tarikh akhir, jadi saya memang tidak sempat untuk menghantar pencalonan. Saya kini berada di luar negara atas urusan kerja.”

Pada 3 Januari lalu, Megat berkongsi niat untuk bertanding pada Kongres FAM yang akan datang bagi merebut jawatan nombor satu badan induk bola sepak negara ini.