MALAYSIA tidak bercadang menjadi tuan rumah untuk pusingan perlumbaan Piala Negara-Negara (Nations Cup) UCI, tahun ini.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebaliknya mengesahkan bahawa perancangan ke arah penganjuran acara berprestij berkenaan mungkin dilaksanakan pada tahun hadapan.
Malah pada tahun ini, hanya satu pusingan UCI Nations Cup diumumkan iaitu di Konya, Turki pada 14 Mac, gara-gara tidak banyak negara berminat untuk menjadi tuan rumah.
Kejohanan ini biasanya melibatkan tiga pusingan setiap musim.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill mengakui Malaysia sudah memiliki banyak kejohanan antarabangsa dianjurkan di Veledrom Nasional, Nilai tahun ini.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, Malaysia sudah terikat dengan beberapa perlumbaan antarabangsa lain sepanjang tahun ini.
“Banyak faktor yang mungkin menyebabkan kesukaran mendapatkan negara yang sesuai untuk menganjurkan UCI Nations Cup tahun ini.
“Pertama, tahun ini adalah tahun selepas Olimpik, dan kebanyakan negara sudah mempunyai acara lain yang perlu diberi keutamaan.
“Sebagai contoh, Hong Kong yang lazimnya menjadi tuan rumah UCI Nations Cup, kini fokus kepada temasya Sukan Nasional China tahun ini.
“Malaysia juga mempunyai jadual acara lumba basikal yang padat. Kami akan menganjurkan tiga kejohanan bulan ini menerusi Siri Piala Presiden, selain Kejohanan Asia bulan depan.
“Oleh itu, tidak mungkin kita akan menganjurkan mana-mana pusingan UCI Nations Cup tahun ini.
“Namun, kita berhasrat menjadi tuan rumah tahun depan dan sudah memaklumkan kepada UCI. Kami juga dimaklumkan banyak negara berminat untuk menganjurkannya pada tahun depan, jadi kita perlu tunggu dan lihat bagaimana proses pemilihan berlangsung,” kata Amarjit.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri (kanan) bimbang skuad berbasikal trek negara kekurangan kejohanan antarabangsa tahun ini.
Sebelum ini, ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri menyuarakan kebimbangan kerana peluang pelumba negara untuk bersaing tahun ini lebih terhad.
Ini kerana hanya satu pusingan UCI Nations Cup dianjurkan, selain UCI tidak lagi membenarkan pasukan persendirian (trade teams) menyertai siri itu.
Pada November lalu, PKBM mengumumkan rancangan membida hak penganjuran Kejohanan Dunia 2028.
“Kami berharap dapat menganjurkan Kejohanan Dunia 2028 memandangkan hak penganjuran untuk edisi 2026 dan 2027 sudah diputuskan
“Namun, terdapat prosedur ketat dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi tuan rumah. Ini memerlukan kerjasama dan sokongan daripada kerajaan,” tambah Amarjit.
Kejohanan Dunia tahun depan akan berlangsung di China, manakala edisi 2027 dijadualkan di Perancis.
Pada tahun ini, kejohanan tersebut akan berlangsung di Santiago, Chile dari 15 hingga 19 Oktober.