TIMBUL persoalan di fikiran ramai peminat bola sepak, kenapa Cristiano Ronaldo tidak dicalonkan untuk Ballon d’Or 2023?
Ronaldo telah menjadi saingan Lionel Messi dalam perlumbaan untuk anugerah Ballon d’Or dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ronaldo mengumpul lima trofi, manakala Messi meraih lapan trofi (termasuk yang baharu awal pagi tadi).
Persaingan antara dua pemain terhebat sepanjang zaman semakin pudar. Lebih-lebih lagi, kedua-dua mereka tidak lagi bermain dalam pertandingan elit Eropah. CR7 berpindah ke Arab Saudi bersama Al Nassr, manakala Messi yang berusia 36 tahun memilih kelab Amerika Syarikat, Inter Miami.
Bagaimanapun, Messi tetap dicalonkan untuk Ballon d’Or. Ronaldo juga tidak muda lagi. Dia kini berusia 38 tahun. Namun, dia masih mampu menjaringkan gol secara kerap di peringkat antarabangsa mahupun kelab.
Jadi, mengapa bintang Portugal itu tidak dicalonkan untuk Ballon d’Or tahun ini?
Ronaldo semakin sensasi di Liga Arab Saudi.
Ketua pengarang France Football Vincent Garcia menjelaskan sebab logik mengapa Ronaldo diketepikan daripada pencalonan Ballon d’Or 2023.
“Ketiadaan Cristiano Ronaldo bukan topik perbincangan dalam jawatankuasa,” kata Garcia, dipetik Sportskeeda.
“Dia tidak menyerlah di Piala Dunia dan bermain dalam pertandingan yang kurang dikenali, tetapi dia masih pemain yang hebat,” tambah Garcia.
Ronaldo memang kelihatan mengecewakan sepanjang Piala Dunia 2022. Bekas bintang Real Madrid itu tidak pernah bermain penuh dalam lima perlawanan Portugal di Qatar.
Aksi Ronaldo selepas perlawanan bertemu Ghana dan tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022.
Ronaldo juga hanya mampu menjaringkan satu gol pada perlawanan pertama menentang Ghana pada pusingan awal Kumpulan H. Pasukan kebangsaan Portugal itu tersingkir di suku akhir selepas tewas 0-1 kepada Maghribi.
Sementara itu, Messi menjadi wira Argentina kerana memenangi Piala Dunia 2022. La Pulga turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan itu hasil aksi mengagumkannya sepanjang kejohanan.