PELUANG berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) perlu digunakan sebaik mungkin, dengan mencerap segala ilmu daripada pelbagai jurulatih hebat.

Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei yang bergandingan dengan Nur Izzuddin Rumsani berkata, selain memanfaatkan kemudahan fasiliti bertaraf dunia yang ada di ABM, mereka perlu bijak menggunakan ilmu diperoleh bukan untuk saingan Piala Sudirman 2025 sahaja.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

“Rasa seperti kembali ke rumah sendiri,” kata Sze Fei, spontan merujuk kepada latihan kem pusat skuad Piala Sudirman yang akan bermula 27 April hingga 4 Mei di Xiamen, China.

Katanya, kembali ke akademi yang dilengkapi fasiliti latihan serba lengkap sememangnya suatu yang diimpikan setiap pemain badminton.

“Kami bersyukur dapat kembali dan perlu belajar sebanyak yang boleh terutamanya setiap ilmu daripada ketua jurulatih beregu, Herry Iman Pierngadi,” ujarnya lagi.

Nur Izzuddin pula yakin dengan skuad kali ini namun setiap pemain perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental dalam acara berpasukan.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sze Fei-Nur Izzuddin meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula 1 September tahun lalu, selepas menjuarai kejohanan Super750 Terbuka Jepun.

Setelah bergelar profesional, mereka menjuarai kejohanan Super1000 Terbuka China 2024; Super500 Terbuka Arctic, Finland; naib juara Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China; dan Super750 Terbuka India 2025, sehingga berjaya menempatkan diri di ranking nombor 2 dunia ketika ini.

Kehadiran Sze Fei-Nur Izzuddin, memberikan kepelbagaian pilihan buat jurulatih Herry, selain Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.