PENANG FC yang baru sahaja melakar kejayaan mencatat kemenangan sulung dalam Liga Super musim ini telah mengaturkan satu kejohanan jemputan yang akan berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Kejohanan Piala Tuan Yang Terutama (TYT Cup 2022) yang akan diadakan pada 28 Jun hingga 2 Julai 2022 adalah kejohanan bolasepak tiga penjuru sempena sambutan ulang tahun pertama Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan juga untuk meraikan ulang tahun ke-73 TYT Tun.
Selain Penang FC, dua pasukan jemputan turut menyertai kejohanan ini ialah Karo United FC dari Liga 2 Indonesia dan New Road Team (N.R.T) dari Liga Martyr’s Memorial A-Division Nepal yang menawarkan hadiah wang tunai RM 10,000 kepada juara dan RM 5,000 kepada naib juara.
Penang FC mempunyai rehat hampir sebulan dalam saingan liga dan kesempatan ini digunakan mereka untuk menganjurkan kejohanan ini sekaligus dapat memberikan perlawanan kompetitif kepada pemain dan mengekalkan momentum kemenangan.
Kejohanan ini juga pastinya akan menjadi medan buat pengendali baru Zainal Abidin Hassan melakukan beberapa perubahan dan mengenalpasti kekuatan dan kelemahan yang ada dalam pasukan Penang FC.
Ia juga mampu memberikan pendedahan yang baik buat para pemain sebelum liga bersambung dengan dua perlawanan menentang pasukan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim.
Penang FC kini ditangga kesebelas Liga Super dan berharap dapat keluar dari zon relegasi selepas cemerlang menamatkan liga di tangga ketiga musim lalu.