YOUNG Tigress mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas mengatasi Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) 2-1 di tempat lawan, petang Jumaat.

Skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu tidak menunggu lama untuk mula mengejutkan tuan rumah menerusi pukulan ‘reverse’ Siti Nur Irdina Mohd. Nor pada minit ketujuh.

Kedua-dua pasukan kemudian saling serangan namun usaha pemain TLHT, Nur Atira Mohamad Ismail tersasar sebelum percubaan Azmyra Mia Sofea Azhairy pula dinafikan penjaga gol TLHT.

Skuad Young Tigress semakin garang selepas pemain kebangsaan, Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin menyudahkan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-33.

TLHT yang kian tertekan berjaya mengurangkan defisit gol melalui pukulan sudut penalti Fazila Sylvester Silin pada minit ke-46 dan jaringan sekaligus memberikan tonik buat tuan rumah.

Kebangkitan yang cuba direncana TLHT tidak membuahkan hasil setelah hantaran Fazila pada minit ke-56 gagal disempurnakan Qasidah Najwa Muhammad Halimi.

Peluang terbaik TLHT mengikat kedudukan menjelma dua minit sebelum tamat namun pukulan sudut penalti Fazila diselamatkan penjaga gol Young Tigress, Fitrinur Amiera Ramlee.

Keputusan 2-1 memihak Young Tigress kekal sehingga tamat membolehkan pasukan pelapis negara itu mendahului carta MHL kategori wanita dengan enam mata.