PASUKAN Formula 1 McLaren telah mengumumkan mereka telah mencapai kata sepakat dengan Mercedes yang menyaksikan Mick Schumacher akan menyertai McLaren sebagai salah seorang pemandu simpanan untuk musim 2023.

Schumacher menyertai Mercedes pada Disember lalu selepas mengharungi dua musim sebagai pemandu utama dengan pasukan Haas namun kontraknya tidak disambung pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ini bermakna pemandu Jerman itu akan bersama-sama juara IndyCar, Alex Palou dalam senarai pemandu simpanan McLaren yang boleh menggantikan Lando Norris dan Oscar Piastri sekiranya mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam mana-mana perlumbaan.

Awal minggu lalu Mercedes telah berkongsi gambar pemandu berusia 23 tahun itu sedang menjalani proses penyesuaian kokpit dan pelarasan tempat duduk sekiranya dia diperlukan untuk mengganti tugas Sir Lewis Hamilton atau George Russell ketika sesi latihan.

McLaren juga sudah berkongsi gambar yang sama dan ini bermakna Schumacher sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Prinsipal Pasukan McLaren yang baharu Andrea Stella yang juga Jurutera Prestasi Jentera bapanya, Michael Schumacher di Ferrari dari 2002 hingga 2006.

Menerusi dua musim penuhnya bersama Haas, Mick berjaya mencatat 12 mata dari 43 perlumbaan namun untuk musim 2023, dia digantikan dengan pelumba senior yang juga rakan senegaranya, Nico Hulkenberg.