Kredit Gambar: Lillian SUWANRUMPHA/AFP
Max Verstappen akhirnya membuka akaun kemenangan musim 2026 apabila pelumba Red Bull Racing itu menjuarai Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Kejayaan tersebut cukup istimewa buat juara dunia empat kali itu apabila beliau mengulangi pencapaian sembilan tahun lalu ketika kali terakhir GP Malaysia berlangsung di Sepang, yang turut menyaksikan Verstappen muncul pemenang.
Kimi Antonelli daripada Mercedes AMG Petronas memberikan saingan sengit untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, melengkapkan podium untuk Ferrari.
Hamilton yang bermula dari petak kedua terpaksa berpuas hati di tempat ketiga, manakala rakan sepasukannya, Charles Leclerc, menamatkan saingan di kedudukan keempat. Isack Hadjar pula menjadi pelumba Red Bull kedua terbaik selepas menduduki tempat kelima.
Drama sudah bermula sebelum perlumbaan apabila hujan lebat menyebabkan air bertakung di beberapa bahagian litar, memaksa Race Control menangguhkan permulaan yang sepatutnya berlangsung pada jam 3 petang.
Keadaan menjadi lebih rumit ketika pusingan formasi apabila beberapa jentera dilaporkan mengalami kehilangan kuasa serta gangguan perisian enjin ketika bergerak di belakang kereta keselamatan.
Situasi itu menyebabkan bendera merah dikibarkan dan semua jentera diarahkan kembali ke pit sebelum perlumbaan akhirnya dapat diteruskan.
Selepas perlumbaan bermula, dua kemunculan kereta keselamatan turut mewarnai aksi susulan beberapa insiden di litar. Namun, Verstappen kekal tenang menguruskan perlumbaan dalam keadaan mencabar untuk mempertahankan kedudukannya hingga ke garisan penamat.
George Russell yang sempat berada di kelompok podium pula gagal menamatkan perlumbaan apabila mengalami masalah pada jenteranya ketika hanya berbaki lima pusingan, sekali gus memberikan laluan kepada Antonelli untuk mengesahkan tempat kedua.
Kemenangan Verstappen akhirnya melengkapkan hari gemilang Red Bull Racing dengan juara dunia empat kali itu meraih kemenangan pertama musim ini di litar yang pernah menyaksikan kejayaan terakhirnya di Malaysia.