SORAKAN padu penyokong tuan rumah di Stadium Tinju Lumpinee gagal menggugat fokus jaguh Muay Thai muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (16) apabila beliau tampil cemerlang meraih pingat emas acara lelaki 57 kilogram (kg) Sukan SEA 2025, sekali gus menundukkan wakil Thailand, Suphakon Sirilun di pentas final.

Miki, yang juga adik kepada bintang Muay Thai terkenal Johan Ghazali, mempamerkan ketenangan dan disiplin tinggi meskipun beraksi di gelanggang lawan.

Aksi final bermula dengan kedua-dua petarung berhati-hati mengatur strategi pada pusingan pertama, dengan Miki sempat terjatuh namun tidak hilang fokus untuk terus memberi tekanan kepada Suphakon.

Memasuki pusingan kedua, Miki mula meningkatkan tempo dan berjaya menjatuhkan Suphakon, sekali gus mengubah momentum perlawanan.

Kedua-duanya terus berbalas serangan dalam baki pusingan kedua dan ketiga, namun ketajaman teknik serta ketahanan fizikal Miki menjadi pemisah sehingga keputusan memihak kepada wakil Malaysia.

Kejayaan itu melengkapkan misi emas Miki selepas beliau terlebih dahulu menewaskan wakil Laos, Thongbang Seuaphom di peringkat separuh akhir, sebelum tampil lebih bersemangat memburu kejayaan di pentas final.

Pingat emas yang diraih Miki turut menjadi emas ketiga Malaysia dalam acara Muay Thai, menyusul kejayaan Wassof Rumijam dan Yan Jia Chi dalam kategori masing-masing.

 

foto:TVS