MIMPI indah Kuala Lumpur City FC di kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berakhir apabila tewas kepada kelab Al-Seeb dari Oman pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Jaringan Ali Sulaiman Al-Busaidi, Aziz Humaid Al-Maqbali dan Muhsen Saleh Al-Ghassani cukup untuk memberikan Al-Seeb kemenangan 3-0 sekaligus kejuaraan pertama Piala AFC dalam penampilan pertama mereka di kejohanan tier kedua kelab Asia.
Kedua-dua pasukan bermula perlahan pada awal babak pertama dengan KL City mempunyai dua peluang awal menerusi ketua pasukan Paulo Josue dan Zhafri Yahya namun tidak dapat dimanfaatkan.
Satu serangan pantas dari Al-Seeb menghadiahkan sepakan sudut yang langsung menerjah jaring selepas Kevin Mendoza gagal menumbuk bola keluar yang dibantah pemain KL City namun tidak diendahkan oleh pengadil untuk gol pertama Al-Seeb.
Lapan minit sebelum tamat babak pertama, KL City sekali lagi dihukum dengan gol kedua Al-Seeb hasil gerakan cantik barisan serangan sekaligus menambah kesukaran buat skuad kendalian Bojan Hodak.
KL City meningkatkan lagi serangan pada babak kedua untuk mencari gol pembukaan dengan Al-Seeb dilihat sedikit mengendurkan permainan tetapi masih kental di barisan pertahanan.
⏰ FT | 🇲🇾 Kuala Lumpur City 0️⃣-3️⃣ Al Seeb 🇴🇲
💪 A dominant display sees Al Seeb claim the #AFCCup2022 title!#AFCCupFinal | #KLCvSEB pic.twitter.com/tFAL8GSzaU
— #AFCCup2022 (@AFCCup) October 22, 2022
Ketika KL City sedang merangka pertukaran pemain, Al-Seeb berjaya menambah gol ketiga sekaligus mengukuhkan cengkaman untuk menjulang trofi dan mengecewakan 27,722 penyokong KL City yang hadir ke stadium.
Kedudukan 3-0 kekal hingga wisel penamat namun tiada apa yang patut dikesali oleh barisan pemain KL City kerana ini adalah pencapaian terhebat mereka dalam sejarah kelab selepas menjuarai Piala Malaysia selepas 32 tahun musim lalu.
Dengan kemenangan ini, Al-Seeb kini layak ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2023-2024 manakala harapan KL City untuk mengulangi pencapaian Johor Darul Ta’zim muncul juara Piala AFC tidak kesampaian.