FINAL impian, tertangguh buat kali kedua selepas dua pasangan beregu campuran negara tersingkir di separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka India 2025.

Bagaikan ulangan separuh akhir Terbuka Malaysia minggu lalu, skrip sama berlaku apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, terkulai di New Delhi.

Berdepan situasi getir dan genting, kedua-dua pasangan utama negara ini masih gagal memperbaiki komunikasi ketika berada dalam gelanggang sehingga mengubah nasib mereka yang terus kempunan memburu kejuaraan pertama tahun ini.

Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking ketiga dunia bagaikan serba tidak menjadi ketika berdepan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang berada di ranking nombor 12 dunia, apabila tunduk straight set, 17-21, 15-21 dalam tempoh 42 minit.

Biarpun memiliki kelebihan rekod pertemuan 3-1 sebelum perlawnan berlangsung, Tang Jie banyak lagi perlu mereka perbaiki.

“Dari segi strategi.. Ok cuma berlaku ‘misscommunication’ tapi tak mengapa, itu boleh diperbaiki dan kami akan bincangkan selepas ini,” kata Tang Jie.

Ee Wei pula mengakui, pemain lawan bijak memberi tekanan sehingga memaksa mereka mengangkat bulu tangkis tinggi yang akhirnya memakan diri.

Situasi hampir didepani Soon Huat-Shevon, namun pasangan ini seharusnya sudah boleh menutup perlawanan dengan kemenangan dan mengesahkan tempat ke final.

Manakan tidak, berdepan beregu nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, pasangan suami isteri itu memenangi set pertama 21-18, namun menyerahkan set kedua kepada lawan 19-21 sebelum akur kepada kejaguhan pasangan China 9-21 di set penentuan.

“Secara fizikalnya, kami masih cergas cuma komunikasi kurang baik di set ketiga.

“Namun kekalahan set kedua itu banyak mempengaruhi permainan pada set penentuan,” ujar Shevon.

Begitupun, kemampuan mara ke separuh akhir pada dua kejohanan berturut-turut menjadi sumber motivasi buat gandingan berpengalaman itu.

Pada saingan Indonesia Masters minggu depan, Soon Huat-Shevon dijadual berdepan gandingan meningkat naik negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin di pusingan pertama.

Tang Jie-Ee Wei pula diundi bertemu pemain Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwon.